KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan mendedahkan sejumlah RM2.6 bilion kerugian direkodkan berpunca daripada jenayah scam atau penipuan dalam talian sejak 2019 hingga Mei 2023.
Di Dewan Negara, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan kini agresif malah pihak bank juga sudah menyediakan inisiatif bagi menjamin keselamatan pengguna.
“Saya nak berkongsi mengenai scam ini, statistik kes jenayah dalam talian 2019 hingga 2023 bulan Mei, scam belian dalam talian adalah 33,073 kes, pinjaman tidak wujud pula 20,360, love scam sebanyak 5,761 kes, phone scam 10,925 kes, scam pelaburan 10,718 kes, business email compromise 207 kes, tipu menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS) adalah 648 kes. Ini menjadikan jumlahnya keseluruhan adalah 81,692 kes.
“Jumlah kerugian scam belian dalam RM365 juta, pinjaman tidak wujud RM210 juta, Love scam RM268 juta, phone scam RM637 juta, scam pelaburan RM984 juta, business email scam RM134 juta, dan tipu SMS RM7.5 juta.
“Jumlahnya adalah RM2.6 bilion penipuan kerugian jenayah atas talian bagi tahun yang dinyatakan. Ini adalah perkara yang serius dan kita akan melaksanakan apa yang patut. Antaranya penangkapan 43,959 individu sudah ditangkap dan sebanyak 30,065 dibawa ke mahkamah atas pertuduhan jenayah itu,” katanya menjawab soalan Senator Mohd. Hatta Ramli.
Terdahulu, Mohd. Hatta dalam soalan tambahan minta Kementerian Kewangan menjelaskan apakah perancangan kementerian dalam melaksanakan pendidikan pengurusan kewangan kepada anak-anak muda yang menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Jelas Ahmad, kerajaan menubuhkan pusat pencegahan jenayah kewangan bagi membendung jenayah penipuan dalam talian.
“Rakyat boleh menelefon 997, nanti akan dijawab dan pemanggil boleh beritahu masalah dan beri segala maklumat yang relevan.
“Kita juga telah mengambil langkah pencegahan peralihan perantaraan kata laluan, kemudian bank telah mengenalkan kill switch, membolehkan pelanggan membekukan akaun dengan segera,” ujarnya. – UTUSAN










