Jual air terawat pada Pulau Pinang tiada kaitan politik - Utusan Malaysia

Jual air terawat pada Pulau Pinang tiada kaitan politik

SAARANI Mohamad melihat pameran Perak Sejahtera 2030 pada majlis perkongsian laporan kemajuan dan pencapaian pelan tersebut di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kesediaan kerajaan Perak untuk mempertimbangkan permohonan Pulau Pinang bagi membeli air terawat dari negeri ini tidak mempunyai kaitan dengan sebarang elemen politik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan, mana-mana negeri juga boleh membeli air terawat dari Perak namun ia bergantung kepada kecukupan keperluan domestik.

“Bukan sahaja Pulau Pinang, mungkin kalau negeri Selangor mahu beli, kita pun akan jual tetapi dengan syarat tertakluk kepada cukup tak (air) untuk orang Perak.

“Ia tiada kena mengena dengan kerajaan Perpaduan dan DAP, tiada kena mengena pun dengan parti.

“Kalau kerajaan Kelantan tiada air dan mahu beli (air terawat), kita juallah. Bayar jangan tak bayar,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Sambutan Setahun Perak Sejahtera 2030 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Razman Zakaria yang meminta kerajaan negeri berpegang kepada pendirian untuk tidak menjual air Perak kepada Pulau Pinang.

Razman yang juga Ketua Pembangkang mengingatkan Menteri Besar agar menyelesaikan isu dan keperluan air di Perak terlebih dahulu seperti mana yang telah diperkatakan beliau ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut Saarani berkata, apa yang pernah ditegaskan beliau sebelum ini adalah berkaitan penjualan air mentah kepada Pulau Pinang bukannya bagi jualan air terawat.

“Dulu kita tidak setuju langsung sebab Pulau Pinang minta air mentah, mereka mahu proses di sana dan jual balik kepada kita, itu tidak boleh berlaku.

‘Kita kena proses (air mentah) dalam Perak dan jual. Mungkin bukan sahaja Pulau Pinang, mungkin Selangor pun mahu beli, mana kita tahu,” katanya.

Tambah beliau, apa yang penting bagi kerajaan negeri kini adalah membantu kawasan di bahagian utara yang sering mengalami masalah air untuk kegunaan pertanian dan domestik.

“Apa pun keadaannya, sama ada air terawat atau air mentah, ia tertakluk kepada kecukupan untuk kegunaan rakyat Perak. Kalau air mencukupi dan jika ada yang mahu beli sekali gus menjana pendapatan negeri, ‘why not’ kita jual.

“Apa yang penting sekarang ialah kita nak bantu kawasan di utara Perak, sebab mereka kering jadi kita kena hantar air kepada Kerian,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN