JKR cari punca runtuhan bumbung di IKIM

JKR cari punca runtuhan bumbung di IKIM

DR MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyiasat punca bumbung dewan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jalan Duta yang runtuh semalam.

Ketua Pengarah IKIM, Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, kesemua blok bangunan di IKIM adalah di bawah selian JKR. 

Kata beliau, dapatan awal pihaknya berkemungkinan besar kejadian itu berlalu akibat struktur bangunan itu sendiri.

“Kita telah maklumkan kepada pihak JKR dan mereka ketika ini sedang melakukan pemantauan di keseluruhan blok bangunan yang ada sama ada benar-benar selamat atau tidak.

“Semua proses ini mengambil sedikit masa sehingga kita dapat tahu punca kejadian itu berlaku,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azam memaklumkan,  mangsa runtuhan bumbung dilaporkan stabil.

Kesemua mangsa yang terlibat dengan kejadian itu telah menerima rawatan pesakit luar dan mereka bagaimanapun masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Kata beliau, kesemua mereka kini telah mendapat cuti rehat sehingga keadaan betul-betul stabil.

“Jika kita lihat keadaan runtuhan, mangsa terlibat mungkin tidak akan selamat tetapi ini semua kuasa Allah, Alhamdulilah tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” ujarnya.

Kata Mohamed Azam, ketika kejadian berlaku, kesemua lima mangsa berada di dalam dewan berkenaan bagi melakukan persiapan bagi latihan penganjuran Program Tribute Tan Sri, Mohd Kamal Hassan yang dijangka berlangsung esok.

“Mengikut jadual, latihan penuh acara itu berlangsung pukul 12 tengah hari semalam yang turut disertai saya, bagaimanapun, lima minit sebelum bermula, tiba-tiba bumbung dewan itu runtuh.

“Lima mangsa telah turun awal ke dalam dewan dan mereka sempat menyelamatkan diri sebaik terdengar bunyi dentuman yang kuat di bahagian siling dewan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamed Azam menjelaskan, pemancar radio yang berada terletak di blok sama bagaimanapun tidak terjejas dan masih berfungsi dengan baik.

“Ingin dinyatakan di sini, siaran radio IKIM berjalan seperti biasa dan tidak terjejas meskipun kelengkapan pemancar berada dalam blok sama,”katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati pemantauan sedang dilakukan Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan bangunan di dewan berkenaan selamat diduduki.

Komander Operasi BBP Sentul, Pegawai Bomba Kanan II,  S Thirugaya ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, anggotanya ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dan keselamatan kakitangan IKIM yang ketika ini sedang melakukan pemindahan barangan yang tidak terjejas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi semalam, lima wanita cedera ringan selepas bumbung dewan di IKIM, di Jalan Duta,runtuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 11.56 pagi tadi.

Susulan itu, seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas dan BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sebanyak lima mangsa wanita tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun dilaporkan mengalami cedera ringan dalam kejadian itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya