Jangan putuskan silaturahim kerana politik - Utusan Malaysia

Jangan putuskan silaturahim kerana politik

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Umat Islam diingatkan supaya tidak bersikap ekstrem dan terlalu taksub dalam berpolitik sehingga sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan dengan kaum kerabat sendiri.

Pesanan itu diberikan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Beliau berkata, ini kerana agama Islam amat mementingkan hubungan kasih sayang antara adik-beradik dan kaum kerabat, malah termasuk yang jauh seperti sepupu serta yang lebih jauh lagi ikatan kekeluargaan dengan seseorang.

”Banyak ayat al-Quran dan hadis yang mewajibkan hubungan silaturahim antara adik-beradik dan kaum kerabat serta mengharamkan perbuatan memutuskan hubungan ini.

”Memutuskan hubungan silaturahim merupakan salah satu dosa yang besar sehingga ada hadis yang menegaskan bahawa seorang yang berbuat demikian tidak akan masuk syurga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hubungan silaturahim haram diputuskan kerana perbezaan pegangan politik atau kerana berlainan parti politik yang disokong oleh masing-masing.

”Ini adalah kerana parti politik bukan ciptaan Allah SWT yang suci daripada kesalahan dan kecelaan, tetapi ia merupakan metodologi berasaskan pemikiran manusia untuk menguasai tampuk pemerintahan dengan matlamat tertentu yang ingin dicapai.

”Silaturahim tidak harus diputuskan walau dengan apa sebab sekalipun, hatta dengan sebab seseorang disakiti atau dianiaya oleh mana-mana adik-beradik atau kaum kerabatnya sekalipun,” katanya.

Tambahnya, tidak wajar perbezaan pegangan politik membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam, apatah lagi menjadi faktor yang memutuskan hubungan silaturahim antara anggota sebuah keluarga, adik-beradik dan kaum kerabat.

”Saya sarankan para pemimpin parti politik di negara ini, baik di sebelah kerajaan mahupun pembangkang menjelaskan perkara ini kepada para pengikut masing-masing.

”Janganlah mereka menjadi batu api yang memecah-belahkan perpaduan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak mesti berusaha memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan umat Islam, malah antara sesama warga Malaysia daripada pelbagai kaum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya