PETALING JAYA: Reka bentuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) didakwa terlalu lurus menjadi antara faktor yang mempengaruhi kejadian kemalangan di lebuh raya berkenaan.
Justeru, pihak yang bertanggungjawab perlu mencari satu titik penyelesaian yang seimbang dalam mengatasi tiga faktor utama berlakunya kemalangan iaitu faktor manusia, reka bentuk jalan dan persekitaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kejuruteraan lebuh raya, Prof. Madya Dr. Ng Choy Peng berkata, jalan yang terlalu lurus boleh mempengaruhi pengguna untuk memandu dengan laju, maka mereka yang agresif akan memandu lebih laju daripada had yang ditetapkan.
Selain itu, katanya, jalan yang terlalu lurus juga boleh menyebabkan pengguna tertidur kerana pemanduan yang bosan dan tidak mencabar.
“Dari segi kejuruteraan, saya percaya mereka sudah buat yang terbaik dan sudah pasti (LPT2) sudah melepasi audit keselamatan jalan raya.
“Oleh itu, ia bergantung pula kepada tiga punca utama kemalangan iaitu faktor manusia, jalan terutama dari segi reka bentuknya dan persekitaran.
“Jadi, kena cari satu titik penyelesaian yang seimbang dalam mengatasi tiga faktor itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, LPT 2 dianggap bahaya selepas mencatatkan sebanyak 503 kemalangan dalam tempoh lima bulan iaitu bermula Januari hingga 31 Mei ini, membabitkan 14 kes kematian dan tiga cedera parah.
Selain itu, sebanyak 1,084 kemalangan dengan 24 kes kematian manakala 17 lagi cedera parah dilaporkan di LPT2 sepanjang tahun 2022.
Permukaan jalan beralun, gelap pada waktu malam, pencerobohan haiwan dan faktor manusia menjadi antara punca lebuh raya itu dianggap bahaya.
Sehubungan itu Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan melakukan kajian secara forensik bagi mengenal pasti punca-punca yang menyumbang kepada kemalangan di lebuh raya terutamanya di LPT2 yang dianggap bahaya.
Pengerusi LLM, Datuk Seri Jalaludin Alias berkata, berasaskan kepada kajian itu, pihaknya akan melihat kaedah untuk penambahbaikan supaya dapat menjalankan langkah-langkah pencegahan.
Mengulas lanjut, Choy Peng yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), berkata, aspek yang paling kritikal adalah untuk mengelakkan pengguna berasa terlalu selesa dengan kecanggihan tahap keselamatan kenderaan mereka.
“Kalau kita lihat kenderaan semakin canggih dan ciri keselamatan juga baik, jadi mungkin pengguna sudah rasa selamat dan akan bersaing untuk kelajuan.
“Selain itu kecuaian, apabila kadangkala manusia terlalu letih, kita boleh lihat setiap kali musim perayaan orang akan pulang ke kampung dan trafik sangat sesak.
“Seterusnya persekitaran juga sangat penting. Sebagai contoh apabila hujan, lapisan air hujan akan mewujudkan satu jurang antara tayar dengan permukaan jalan, jadi kena kurangkan kelajuan,” katanya.
Beliau menambah, pengguna jalan raya bagaimanapun disaran untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan di negara ini. – UTUSAN










