Isu LCS: Laporan kemajuan akan dibahas pada mesyuarat ketiga Parlimen Oktober ini  - Utusan Malaysia

Isu LCS: Laporan kemajuan akan dibahas pada mesyuarat ketiga Parlimen Oktober ini 

lcs
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli-ahli Dewan Rakyat dijangka membahaskan laporan kemajuan projek mega yang gagal disiapkan iaitu kapal tempur pesisir pantai (LCS) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 bermula 9 Oktober sehingga 30 November ini.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, perbahasan laporan kemajuan itu setelah PAC merancang membentang laporannya di Parlimen yang akan menyentuh kemajuan pembinaan LCS yang dicapai dari Oktober 2022 sehingga Mei 2023.

“PAC komited membentang laporan kemajuan projek LCS ini untuk dibahas di Parlimen yang akan bermula pada Oktober hingga November ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian selepas jawatankuasa itu mengadakan lawatan kerja di Limbungan Boustead Naval Shipyard, Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, semalam.

Dalam prosiding itu, Ketua Pengarah syarikat pembinaan kapal Boustead Naval Shipyard (BNS), Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman antara saksi yang dipanggil memberi keterangan.

Selain Ahmad Nazim, turut dipanggil memberi keterangan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Dr. Shahrazat Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif BNS, Ir. Azhar Jummat.

Katanya, prosiding berkenaan berakhir pada pukul 6 petang, semalam.

“PAC mengambil masa selama dua jam untuk melihat sendiri pembinaan subjek prosiding iaitu LCS bermula pukul 10 pagi.

“Prosiding PAC dimulakan pukul 2.30 petang memfokuskan tentang laporan kemajuan projek LCS yang perlu dibentang oleh Kementerian Pertahanan setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek ini disempurna selaras dengan syor PAC Parlimen ke-14 sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd., Datuk Nazim Rahman dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya bersedia mengemukakan laporan kemajuan pembinaan LCS kepada kerajaan setiap suku tahunan seperti yang disyor Kabinet.

PAC sebelum ini mendedahkan, tiada satu pun LCS milik TLDM disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada BNS secara rundingan terus.

Dalam persidangan Dewan Rakyat yang berakhir Khamis lalu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergemparnya untuk membahas isu ketirisan di dalam projek LCS.

Katanya, beliau telah menerima jawapan daripada surat yang diutusnya kepada Johari bahawa isu itu bukan bersifat kepentingan awam, malah tiada keperluan mendesak untuk membahaskannya.

Bagaimanapun, Johari meminta Syed Saddiq membetulkan dakwaannya kerana telah bersikap tidak adil terhadapnya.

Jelas Johari, pada perenggan empat suratnya menyatakan bahawa usul tergempar Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu tidak memenuhi peraturan 18(7)(c) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Peraturan itu memperuntukkan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh menolak usul yang dikemukakan kepada jika apa-apa usul melanggar mana-mana syarat dalam peraturan mesyuarat.

“Saya dimaklumkan, Kementerian Pertahanan dikehendaki membentang laporan LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehinggalah projek ini disiapkan dan PAC telah pun membuat keputusan melawat ke Lumut, Perak untuk siasatan lanjut.

“Apabila PAC buat keputusan, kita (Dewan Rakyat) mahu bincang buat apa lagi? Tunggulah PAC punya laporan dan saya akan benarkan selepas laporan PAC nanti,” kata Johari sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya