BACHOK: Hajat seorang ibu yang terlantar akibat penyakit saraf untuk melihat anak yang menjaganya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tercapai sebelum dia menghembuskan nafas terakhir, kelmarin.
Muhammad Syahril Saidi, 18, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Darul Iman, Beris Lalang sebelum ini tular selepas pengorbanan menjaga ibunya itu, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, berjaya memperoleh keputusan 11 A dalam SPM seperti diumumkan Khamis lalu.
Nenek saudaranya, Zainab Otman, 58, berkata, Muhammad Syahril adalah anak yang sangat bertanggungjawab dan tidak pernah mengeluh untuk menjaga ibunya yang terlantar sejak empat tahun lalu.
Katanya, Muhammad Syahril dan lima adik-beradiknya yang lain turut berkorban masa menjaga ibu mereka yang sakit sejak kematian bapa 11 tahun lalu.
“Keputusan cemerlang Muhammad Syahril dalam SPM merupakan hadiah bermakna buat ibunya. Arwah Tuan Faridah amat terharu di atas keputusan SPM sebelum dia menghembuskan nafas kira-kira pukul 8.40 malam.
“Arwah juga pergi dengan tenang. Alhamdulillah, semuanya telah selesai dengan baik dan kami reda dengan pemergian arwah,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Muhammad Syahril di Kampung Kandis di sini, semalam.
Zainab memberitahu, Muhammad Syahril berhasrat menyambung pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dalam jurusan agama.
Dalam pada itu, Muhammad Syahril berkata, ibunya yang menghidap penyakit saraf sejak 2019 menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga.
“Arwah Umi (ibu) terlantar sakit hampir tiga tahun dan tidak mampu berjalan. Pemergian buat selamanya sudah ketentuan Ilahi dengan asbab sakit dan kami adik beradik sentiasa menyantuninya dengan penuh kasih sayang sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Muhammad Syahril memberitahu, ahli keluarga mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kunjungan pelbagai pihak ke rumahnya selepas kejayaannya dalam SPM tular dalam media sosial.
“Apa pun rasanya cukuplah tular pengkisahan tentang kami dan keluarga berakhir di sini. Doakan yang baik-baik untuk arwah dan keluarga kami,” ujarnya. – UTUSAN










