HSKLU sudah diwartakan semula - Utusan Malaysia

HSKLU sudah diwartakan semula

HSKLU
AMIRUDIN Shari (tengah) bersama wakil penerima sumbangan pada PSKNS 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kira-kira 536.7 hektar kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) yang berdepan isu penyahwartaan sebelum ini bagi projek pembangunan bercampur, sudah diwartakan semula dan pemberimilikan kepada syarikat terbabit juga dibatalkan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pewartaan semula kawasan hutan simpan tersebut dimuktamadkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada dua minggu lalu.

“Keluasan bagi hutan itu masih sama seperti sebelum (dinyahwartakan) dan pengumuman rasmi berhubung perkara ini akan dibuat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) nanti, namun ada sebahagian kita keluarkan untuk jajaran paip Loji Rawatan Air Sungai Rasau dan kawasan Kampung Busut Baru.

“Bagi, Kampung Busut Baru ini, kita keluarkan sebagai kawasan rayau dan penempatan Orang Asli untuk memastikan tiada pembangunan dibuat di situ,” katanya ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2023 (PSKNS 2023), hari ini.

Utusan Malaysia pada Mac lalu melaporkan Gabungan Pertahan HSKLU mendesak kerajaan negeri menyegerakan pewartaan semula hutan simpan tersebut selepas tertangguh lebih 18 bulan walaupun surat berkenaan perkara itu sudah diserahkan ke Pejabat Menteri Besar.

Sebelum ini, isu penyahwartaan menimbulkan polemik dalam kalangan penduduk orang Asli di kampung-kampung sekitar sekitar kawasan hutan simpan berkenaan yang menjadi sumber pendapatan bagi mereka.

Bagaimanapun, Amirudin sebelum ini mengumumkan penyelesaian tuntutan tanah kepada penduduk Kampung Orang Asli Busut Baru sebanyak 42 hektar yang timbul sejak 2006 pemindahan mereka bagi memberi laluan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Terdahulu, beliau ketika merasmikan PSKNS 2023, memaklumkan kerajaan negeri membelanjakan RM6 juta bagi menjayakan program itu dengan memperuntukkan 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing kepada masjid dan surau terpilih di seluruh negeri.

“Mana-mana masjid yang lembu untuk dijadikan korban banyak, kita tak berilah. Kita cuma beri kepada masjid dan surau yang jumlah korbannya tak banyak atau tiada langsung,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.