Hormat, patuh titah Agong jangan polemik Islam untuk kepentingan politik - Utusan Malaysia

Hormat, patuh titah Agong jangan polemik Islam untuk kepentingan politik

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN : Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya agama Islam tidak dijadikan sebagai polemik perbalahan politik mesti dihormati dan dipatuhi oleh seluruh rakyat terutama para pemimpin parti politik.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, titah ucapan baginda itu tentunya lahir daripada keinsafan tentang betapa penting kesucian agama Islam dipelihara di samping keharmonian dalam hubungan antara sesama rakyat berbilang kaum terus dikekalkan.

“Sebagai seorang yang berkecimpung di dalam bidak kefatwaan selama hampir satu dekad, saya ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak mengheret agama ke dalam kancah politik kepartian.

”Ia wajar dilakukan agar imej agama Islam tidak tercemar kerana dikaitkan dengan pandangan politik yang mungkin tersalah disebabkan kelemahan manusia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan seluruh rakyat negara ini agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.

Dalam titah sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong semalam, Seri Paduka turut mengajak semua pihak membuang agenda retorik perpecahan dengan bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan lebih baik.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, meskipun politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam, namun politik yang dimaksudkan itu adalah usaha-usaha untuk melaksanakan keadilan, kebajikan dan kemakmuran menerusi pemerintahan demi kepentingan rakyat.

Jelasnya, ia termasuk usaha membasmi kemiskinan dan memerangi jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan diri, keluarga dan kerabat.

”Dari sudut lain, sistem demokrasi di dalam pemerintahan bukan sahaja ditandai dalam bentuk pilihan raya yang bebas, malah mesti diterjemahkan ke dalam usaha menghormati hak-hak seluruh warganegara termasuk golongan minoriti,” katanya.

Tambah beliau, agama Islam mesti dilihat lebih besar daripada sebuah parti politik atau mana-mana organisasi yang ditubuh oleh manusia.

“Islam adalah satu misi Ilahi yang sakral, manakala parti politik adalah ciptaan manusia yang terdedah kepada kelemahan dan kekurangan.

“Umat Islam wajib terikat kepada prinsip-prinsip Islam, tetapi mereka diharuskan memilih mana-mana parti untuk diikuti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya