Pastikan kesejahteraan rakyat terpelihara – PM

Pastikan kesejahteraan rakyat terpelihara – PM

ANWAR Ibrahim berucap semasa Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, semalam. – JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperhalusi program bantuan bersasar, memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta menambah baik kemudahan kesihatan dan pendidikan bagi memastikan ke­sejahteraan rakyat kekal terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha membendung kos sara hidup turut dilaksanakan secara berpe­ringkat dan berhemah agar rak­yat dapat menikmati kehidupan yang lebih stabil dan sejahtera.

Katanya, ekonomi negara ke­­tika ini terus menunjukkan pertumbuhan yang meyakinkan meskipun berdepan cabaran semasa.

“Pelaburan domestik dan a­sing mencatat peningkatan, kadar pengangguran kekal rendah manakala keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia semakin kukuh.

“Reformasi fiskal yang dilaksanakan dengan berhemah, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana serta agenda transformasi digital membuka ruang dan peluang pekerjaan bermutu khususnya buat ge­nerasi muda,” katanya.

Beliau berucap semasa Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, semalam.

Dalam pada itu, Anwar menjunjung kasih atas pemerintahan Sultan Ibrahim yang disifatkan sebagai bijaksana serta sentiasa menjadi lambang penya­tuan dan keluhuran negara.

“Didoakan agar Allah SWT melimpahkan rahmat dan kesejahteraan ke atas Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja dan semoga Seri Paduka Baginda kekal qarar memerintah dengan penuh daulat, hikmah dan kebesaran.

“Seluruh rakyat akan terus menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda serta memperteguh azam serta ikhtiar bersama demi kemajuan dan ke­sejahteraan tanah air tercinta,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan ber­tekad melaksanakan dasar yang saksama bagi menjamin penga­gihan kepada semua negeri dan wilayah khususnya kepada golongan miskin serta terpinggir.

Katanya, usaha itu selaras dengan penekanan Sultan Ibrahim terhadap kepentingan tatakelola yang teratur serta usaha memerangi pemunggahan kekayaan kepada kelompok kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN