KUALA LUMPUR: Siapa sangka ‘keajaiban’ yang berlaku selepas menghidap kanser payu dara tahap empat dan kanser paru-paru selama tujuh tahun pada 2016, akhirnya diberi peluang untuk kembali ‘hidup’ seperti orang biasa.
Namun, perkara itu yang berlaku kepada seorang pesakit kanser, Khalilah Yem selepas menggunakan rawatan Apitherapy atau lebih sinonim dengan rawatan berasaskan sengatan lebah.
Menceritakan keadaan itu, Khalilah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, beliau sedih dengan penyakit yang dihidapinya dan mulai mendapatkan rawatan di hospital untuk menjalani kemoterapi dan sebagainya.
Namun, hatinya agak berat apabila doktor memaklumkan yang beliau perlu menjalani pembedahan supaya kesan daripada kanser berkenaan tidak merebak ke organ yang lain.
“Saya fikir pada ketika itu memang tiada jalan lain sehinggalah seorang kenalan saya memberitahu tentang rawatan alternatif, saya tekad dan terus konsisten untuk mencuba kaedah tersebut,” katanya.

Beliau memulakan rawatan berkenaan apabila bertemu dengan pengasas Afnan Apitherapy Centre, Rosli Khalid dengan sesi penerangan mengenai rawatan tersebut, diteruskan dengan sengatan lebah di bahagian payudara.
“Mula-mula memang saya rasa sakit, itu saya tidak nafikan. Saya mulakan dengan tiga ekor, lima ekor, kemudian 20 ekor dalam masa yang sama di kawasan berkenaan. Saya konsisten, dan alhamdulillah selepas sebulan, luka-luka pada bahagian payudara mula baik , ketulan yang ada di bawah ketiak saya hilang.
“Saya pergi kembali ke hospital untuk membuat pemeriksaan, namun hospital mengesahkan yang penyakit saya hilang dan tiada lagi kanser seperti yang dilalui sebelum ini. Doktor sendiri pelik dan akhirnya kes saya ditutup dan tiada lagi pemeriksaan hospital yang saya jalani sekarang.
“Saya rasa bersyukur teramat,” katanya sambil mengesatkan air mata.
Katanya, beliau tidak boleh melupakan pengalaman tersebut sehingga hari ini dan berharap dapat menjadi inspirasi kepada pesakit kanser lain untuk mencuba rawatan alternatif ini.
Utusan Malaysia ketika ditemui pengasas kaedah rawatan ini berkata, kebaikan Apitherapy sudah mulai diketahui umum melalui mulut ke mulut sehingga ke luar negara.
“Sudah sampai masa benda ini (apitherapy) didedahkan kepada umum. Kalau orang dari luar negara minta benda ini didedahkan, kalau kita tak nak buat di Malaysia, tak tahulah, jadi sangat rugi bagi kita.
“Usaha untuk mengkomersialkan Apitherapy ke seluruh dunia bermula sejak dua tahun lalu namun kami belum memberi kata putus atas dasar apa kerjasama yang akan dilaksanakan.
“Kami menerima syor tawaran daripada pihak swasta dari Australia yang sudah berjaya mengkomersialkan kaedah rawatan alternatif yang lain,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini turut melaporkan yang kaedah Apitherapy ini menggunakan sengatan lebah di mana bisanya mengandungi enzim, protein, peptide dan asid amino yang digunakan dalam rawatan Apitherapy mampu menjadi penawar bukan sahaja penyakit kencing manis, bahkan banyak lagi penyakit lain.
Rawatannya mudah dengan hanya meletakkan sengat lebah di bahagian anggota badan yang sakit dan dibiarkan beberapa minit sebelum bisa serangga itu menyerap ke saluran darah.
Rosli juga memberitahu, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk membantu kerajaan dalam usaha memberi rawatan khususnya kepada penyakit kronik dan kanser di negara ini.
“Jika masyarakat luar negara sudah mula mengenali dan mencuba sendiri keajaiban Apitherapy, Malaysia bila lagi? Saya tak beri jaminan semua penyakit boleh diubati tapi dengan ikhtiar kita dan bertawakal kepada Allah, Alhamdulillah sejak 15 tahun dalam rawatan ini, ribuan pesakit saya ubati dan kembali sihat seperti sedia kala.
“Ramai juga bekas pesakit kanser dan kronik menjadikan Afnan Apitherapy Centre sebagai destinasi terakhir selepas disahkan menghidap kanser dan penyakit kronik tahap empat,” katanya lagi. – UTUSAN











