Hanya 1% terlibat kenaikan tarif elektrik

Hanya 1% terlibat kenaikan tarif elektrik, kerajaan masih tanggung subsidi RM58 juta

Golongan T20 masih menikmati subsidi elektrik kecuali mereka yang bil bulanannya melebihi RM708 sebulan yang dikenakan surcaj 10 sen setiap kWj.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan masih menanggung subsidi RM58 juta wa­lau­pun berlaku kenaikan tarif elektrik melibatkan satu peratus atau 83,000 pengguna domestik bagi penggunaan elektrik tinggi me­lebihi 1,500 kWj .

Ia ekoran pelarasan tarif elektrik untuk pengguna Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini di ba­wah pelaksanaan mekanisme Imba­lance Cost Pass-Through (ICPT).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pengguna terbabit alami kenaikan bil elektrik bulanan minimum RM187 (25 peratus) atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan yang dikenakan surcaj 10 sen bagi setiap kWj.

Jelasnya, keputusan itu selaras dengan hasrat kerajaan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya subsidi elektrik dilaksanakan secara bersasar bermula bulan depan.

“Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, kerajaan masih menanggung  subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.

“(Pada masa sama) kerajaan menampung kos subsidi elektrik  sebanyak RM5.2 bilion sempena pelarasan tarif elektrik itu, bermakna semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah tidak akan  terjejas dengan pelarasan tarif elektrik terbaharu ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Nik Nazmi berkata, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke  bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik yang mana meliputi 99 peratus daripada pengguna domestik di Semenanjung.

Kata beliau, bagi pengguna  bukan domestik voltan tinggi (HV) dan sederhana (MV) serta kategori baharu utiliti air  dan pembentungan pula akan menikmati penurunan.

“Ini ekoran purata harga bahan api menurun sedikit dari AS$224/metrik tan (Julai Disember 2022) kepada AS$173.50/metrik tan (Januari-Jun 2023).

“Namun purata  harga arang batu masih lagi tinggi dan melebihi unjuran kos bahan api yang ditetapkan  dalam tempoh RP3 iaitu USD79/metrik tan,” katanya.

Nik Nazmi berkata, pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif  pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) juga tidak akan mengalami kenaikan tarif  elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

Dalam erti kata yang lain, katanya, perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana  (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani,  penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya juga tidak akan  mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik.

“Kategori baharu pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembetungan di negeri-negeri akan menikmati penurunan kadar surcaj  daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj.

“Ini bermakna operator-operator air di bawah kerajaan negeri akan menikmati  surcaj yang lebih rendah untuk tempoh Julai hingga Disember ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan ini  adalah selaras dengan usaha kerajaan bagi meningkatkan kapasiti dan  keupayaan operator air untuk menyediakan air terawat dan bersih kepada  pengguna.

Jelasnya, pengguna bukan domestik iaitu pengguna-pengguna bervoltan sederhana  (MV) dan tinggi (HV) dalam kalangan industri akan menikmati penurunan  kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj.

Ini bermaksud, katanya, pengguna  bukan domestik MV dan HV ini akan menikmati penurunan bil elektrik di antara  28 peratus hingga 35 peratus sebulan.

“Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang  diberikan kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing.

“Kerajaan berharap agar pemberian subsidi ini dapat membantu meringankan kos sara  hidup rakyat terutamanya dalam tempoh pemulihan ekonomi dan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian komited  dengan perancangan peralihan tenaga kepada penggunaan tenaga yang mampan,  sambil mengimbangi elemen sekuriti tenaga, kebolehcapaian tenaga dan kelestarian  alam sekitar.

Antara langkah itu ialah  Kementerian menggalakkan amalan kecekapan tenaga dan  peralihan kepada penggunaan tenaga boleh baharu melalui pemasangan sistem solar  PV sebagai satu opsyen kepada pengguna untuk mengawal bil elektrik mereka.

Oleh itu, katanya, bagi menggalakkan lagi pemasangan sistem solar PV terutamanya pada  struktur bumbung premis bangunan, kerajaan melakukan ketetapan untuk  melonggarkan syarat di bawah Program Net Energy Metering (NEM) dan Program Self-Consumption for Solar PV Installation (SelCo).

“Had kapasiti setiap rumah bagi permohonan NEM Rakyat  dilonggarkan, berbanding had 4kW untuk pemasangan 1 fasa dan 10kW  untuk pemasangan 3 fasa dan pengguna boleh melakukan pemasangan  sistem solar berdasarkan kriteria teknikal yang ditetapkan;

“Had kapasiti sistem solar PV yang dibenarkan di bawah Program NEM  NOVA dan Program SelCo ditingkatkan daripada 75 peratus kepada 85 peratus,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Program SelCo dibuka untuk permohonan dan penyertaan pengguna  voltan tinggi (HV consumer).

Pelaksanaan ketetapan baharu di bawah Program NEM dan SelCo ini akan  berkuatkuasa mulai 15 Julai ini berpandukan garis panduan yang akan  dikemas kini oleh Suruhanjaya Tenaga.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga akan mengumumkan beberapa  penambahbaikan untuk menggalakkan pemasangan sistem solar PV.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN