Enam peserta Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah

Enam peserta Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66 berlepas ke London

SERAMAI enam peserta Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66, London-Kuala Lumpur 2023 berlepas ke London, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai enam peserta Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66, London-Kuala Lumpur 2023 (QMEPWK66) berlepas ke London hari ini untuk memulakan ekspedisi yang dijadualkan pada 20 Jun ini iaitu dari London menuju ke Kuala Lumpur.

Ekspedisi yang dilakukan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66, akan mengambil masa selama 66 hari, merentasi 66 buah bandar dan melalui 16 buah negara,
meliputi perjalanan sejauh hampir 22,000 kilometer.

Menurut Ketua Ekspedisi, Arep Kulal, kesemua peserta bersedia untuk memulakan ekspedisi ini dan berada dalam keadaan kesihatan yang terbaik.

“Para peserta menjalani ujian kesihatan pada minggu lalu dan keputusan kesihatan mereka semuanya berada dalam keadaan terbaik, justeru, saya yakin kesemua mereka benar-benar bersedia dan kita berharap berjaya menamatkan ekspedisi ini.” Ujar Arep ketika ditemui di balai berlepas Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Mengikut perancangan, program ini ibarat mengimbas kembali kenangan pada tahun 1957, apabila Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membawa watikah pengisytiharan kemerdekaan Malaya dari London, QMEPWK6 dan dijangka tiba di Putrajaya pada pagi 31 Ogos ini yang akan memperlihatkan para peserta program terus menyertai perarakan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66.

Program ini membawa misi “memupuk semangat perpaduan untuk memelihara kedaulatan negara” seterusnya memberi gambaran kepada dunia akan perpaduan rakyat Malaysia pelbagai kaum dalam menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk yang berjaya.

Malaysian Sports Media Association (MASMA) yang juga turut bekerjasama dalam program ini yakin, QMEPWK66 akan memperlihatkan kepada dunia akan jati diri dan keyakinan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa juga cabaran dan rintangan lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang semakin mencabar.

Kempen QMEPWK66i juga akan memperkenalkan destinasi pelancongan Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2025 dan semangat serta konsep Malaysia Madani yang bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban serta usaha mengemudi dan mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66, London – Kuala Lumpur 2023 dianjurkan oleh Global Bike Explorer Sdn. Bhd. dengan kerjasama Malaysian Sports Media Association (MASMA).

Quantum Metal Sdn. Bhd. pula merupakan penaja utama dan GB13, KMF Network, Buliion Suceess Group dan Tourism Malaysia sebagai penaja bersama. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN