‘Dia minta nasi goreng sebelum pergi selamanya’ - Utusan Malaysia

‘Dia minta nasi goreng sebelum pergi selamanya’

MUHAMMAD ADAM SHAZWAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang remaja yang ditemukan lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Temir di sini kelmarin sempat meminta ibunya menyediakan nasi goreng sebelum keluar rumah untuk mandi-manda bersama rakannya di sungai itu pada Jumaat lalu, namun tidak sempat menjamahnya.

Ibunya, Malina Ramli, 52, berkata, anaknya, Muhammad Adam Shazwan Mokhtar, 15, kelihatan gembira ketika itu dan tidak menyangka ia menjadi permintaan serta pertemuan terakhir mereka sebelum kejadian.

“Selepas pulang solat Jumaat, dia meminta saya memasak nasi goreng, namun, ketika sedang menyiapkan nasi goreng itu, dia keluar rumah dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya tidak terfikir apa-apa kerana kawannya menunggu sehinggalah mendapat tahu anak bongsu saya itu lemas. Dalam tempoh empat hari berturut-turut sebelum kejadian, dia ke sungai itu.

ANGGOTA pasukan mencari dan menyelamat mengangkat mayat Muhammad Adam Shazwan Mokhtar yang ditemukan lemas di Sungai Terengganu dekat Kampung Temir, Hulu Terengganu.

“Walaupun sedih kehilangan anak yang begitu baik, namun saya tetap reda. Saya juga bersyu­kur kerana dia berjaya ditemukan pada hari ketiga selepas kejadian,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, Muhammad Adam Shazwan merupakan seorang pendiam dan tidak pernah melawan serta kebiasaannya ketika berada di rumah pun sering habiskan masa di bilik.

Sementara itu bapanya, Mokhtar Mohamad, 63, berkata, dia akan merindui kenangan menaiki motosikal menghantar dan mengambil anaknya itu dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagur pada setiap hari persekolahan.

“Walaupun sudah tingkatan tiga, tetapi dia tetap mahu saya menghantarnya ke sekolah. Semuanya kini hanya tinggal kenangan,” jelasnya.

Muhammad Adam Shazwan lemas setelah dibawa arus deras ketika mandi-manda di Sungai Terengganu dekat Kampung Dusun, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, Muhammad Adam Shazwan dipercayai hanyut ketika berenang bersama seorang rakannya di sungai tersebut.

Bagaimanapun, mayat remaja itu ditemukan orang awam dalam keadaan terapung dekat Kampung Temir sejauh tiga ki­lometer dari lokasi kejadian pada pukul 1.05 petang kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.