Cubaan seludup dadah lebih RM1 juta digagalkan JKDM

Cubaan seludup dadah lebih RM1 juta digagalkan JKDM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cubaan menyeludup masuk dan keluar pelbagai dadah seberat 14.6 kilogram (kg) bernilai lebih RM1 juta  dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

Kesemua dadah itu dirampas menerusi tiga kes yang dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 11 April hingga 14 Mei lalu.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, bagi kes pertama, pihaknya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis methaphetamin melalui kargo udara kira-kira pukul 1 pagi pada 14 Mei lalu. 

Kata beliau, sebuah parcel yang beralamat di Johor disita di hub syarikat penghantaran ekspres di Kargo KLIA. 

“Hasil pemeriksaan dilakukan menemukan 13 bungkusan kecil dibalut plastik mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methaphetamin seberat 1.07kg dianggarkan bernilai RM35,178 yang disorokkan di dalam gam silikon,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Pun Sian berkata, siasatan awal dilakukan mendapati parcel berkenaan akan dieksport ke Australia dengan maklumat pengirim disyaki dipalsukan bagi mengelirukan dan mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyembunyikan dadah di dalam gam silikon sebelum dimasukkan ke dalam kotak kasut bagi mengaburi pihak berkuasa,” jelasnya.

Dalam kes kedua, katanya, pihaknya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis heroin melalui pemeriksaan ke atas parcel di premis Pos Malaysia International Hub (PMIH) Kargo KLIA pukul 12.30 tengah hari, 28 April lalu. 

“Hasil pemeriksaan dilakukan menemukan sembilan paket pembungkus aluminium foil yang mengandungi dadah jenis heroin seberat 4.63kg dianggarkan bernilai RM435,220 yang diletakkan di dalam tin minuman. 

“Dagangan berkenaan adalah dari Johor yang diikrarkan sebagai Avocado Multigrain dan akan dieksport ke Australia,” jelasnya.

Katanya, modus operandi sindiket dalam kes itu adalah menggunakan maklumat pengeksport yang palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa. 

Bagi kes ketiga pula, pihaknya menyita satu parcel antarabangsa dari Pakistan yang mengandungi dadah di premis PMIH Kargo KLIA pukul 11.30 pagi pada 11 April lalu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas parcel itu menjumpai sembilan plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis ketamin seberat kasar 8.894 dianggarkan bernilai RM533,640.

“Siasatan awal mendapati parcel itu dikirim ke alamat palsu bagi mengelirukan dan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa. 

“Modus operandi digunakan dalam kes ini adalah menyembunyikan bahan disyaki dadah di dalam paket aluminium foil bagi mengaburi imej pada mesin pengimbas dan menggunakan perkhidmatan kurier bagi tujuan penghantaran,” jelasnya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan suspek-suspek yang terbabit dalam ketiga-tiga kes berkenaan. 

“Ketiga-tiga kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. 

 “Sepanjang tempoh Januari hingga April lalu, kami menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM4.9 juta membabitkan 37 kes melalui perkhidmatan kurier dan kargo udara,” katanya. 

Beliau menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu. 

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. 

“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi  Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran. 

“JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya