Cadangan harga lantai getah RM3 sekilogram ke Kabinet - Utusan Malaysia

Cadangan harga lantai getah RM3 sekilogram ke Kabinet

FADILAH Yusof (tiga dari kanan) bergambar di lokasi pokok getah pertama yang ditanam di negara ini pada program Trek Komoditi 2023 di Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan menaikkan harga lantai getah sekerap sekurang-kurangnya kepada RM3 sekilogram berbanding RM2.70.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cadangan itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Kabinet akan datang namun ia bergantung kepada kemampuan kerajaan.

“Setakat ini berdasarkan kemampuan kerajaan yang ada ialah RM2.70 sekilogram namun ada juga permintaan daripada pekebun kecil kita yang kata kalau dapat dinaikkan sekurang-kurangnya RM3, atas alasan input untuk perladangan sekarang sudah naik khususnya baja dan sebagainya.

“Dari situ mereka melihat bahawa jika harga RM3 sekilogram, ia balik modal, itu merupakan apa yang mereka harapkan. Jadi saya akan membawa perkara ini ke peringkat kerajaan, ke Kabinet dan akan mencadangkan pada Kementerian Kewangan untuk melihat sama ada perkara ini boleh dipertimbangkan atau tidak, mengikut kemampuan sedia ada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Trek Komoditi 2023 di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan sudah melaksanakan harga lantai getah RM2.70 sekilogram seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

Sementara itu, mengenai program Trek Komiditi 2023, Fadillah berkata, ia bertujuan untuk kerajaan bertemu dengan pemegang taruh dan juga semua pelanggan yang terlibat dalam sektor perladangan dan komoditi.

Beliau berkata, ia juga merupakan peluang untuk beliau berjumpa dengan pihak kerajaan negeri untuk bertukar-tukar pandangan, melihat ataupun mendapat maklum balas daripada keseluruhan rantaian komoditi iaitu daripada pihak kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun di daerah, juga pemain industri hiliran.

“Pertamanya, kita mahu melihatkan adakah dasar dan strategi perlaksanaan yang kita rencanakan ini sampai ke bawah? Manakah kelemahan yang perlu kita tambah baik, apakah input atau cadangan oleh setiap pemegang taruh supaya kita boleh rencanakan pula di peringkat seterusnya, juga apakah penambahbaikan yang perlu kita laksanakan khususnya setelah berlakunya Covid-19.

“Pasca Covid ini, apakah penjajaran semula yang kita perlu laksanakan. Selepas ini kita (Trek Komoditi) akan ke Sarawak dan juga Sabah, seterusnya untuk Zon Timur dan Zon Selatan, kalau sempat tahun ini, kalau tak sempat kita akan sambung pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, Majlis Pelancaran Trek Komoditi 2023 dilakukan di bandar diraja Kuala Kangsar kerana di sini terdapat pokok getah pertama yang ditanam di negara ini yang berusia 146 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya