Penyeludup lari ke Thailand, tinggalkan 1.385 tan beras

Penyeludup lari ke Thailand, tinggalkan 1.385 tan beras

BERAS yang dirampas oleh PGA dalam serbuan di pangkalan haram Simpangan, Tumpat, Kelantan hari ini-IHSAN PGA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Sekumpulan penyeludup bertindak melarikan diri ke Thailand dengan meninggalkan 1.385 tan beras selepas kegiatan haram membawa masuk beras secara tidak sah diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) hari ini.

Dalam serbuan pukul 7.30 pagi di pangkalan haram Simpangan itu, kesemua suspek melarikan diri ke negara jiran menggunakan bot dengan menyeberangi Sungai Golok sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan rondaan rutin menerusi Op Taring Wawasan Kelantan anggota bertugas melihat sekumpulan lelaki sedang memunggah guni beras dari sebuah perahu ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero.

Katanya, menyedari kehadiran anggota PGA mereka terus melarikan diri ke Thailand menggunakan perahu bagi mengelakkan dari ditangkap.

“Pemeriksaan terhadap Mitsubishi Pajero menemukan pelbagai jenis beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran seberat 1.385 tan.

“Kesemua bekalan beras tersebut dipercayai dibawa masuk dari Thailand untuk dijual di sekitar Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, kesemua beras itu diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara Negeri Kelantan untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM36,665.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN