Bukan hanya diperlekeh malah tidak dilayan – Muda - Utusan Malaysia

Bukan hanya diperlekeh malah tidak dilayan – Muda

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri) bersama pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) diketuai Anwar Ibrahim pada sidang akhbar pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November tahun lalu. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendakwa bukan sahaja diperlekeh Pakatan Harapan (PH), tetapi tidak dilayan untuk berbincang termasuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, PH tidak memberikan sebarang maklum balas sedangkan pihaknya sudah menghantar tiga surat memohon mengadakan pertemuan dan semuanya tidak diberi maklum balas.

“Saya secara peribadi telah cuba menghubungi Perdana Menteri dan pegawainya de­ngan pelbagai cara sama ada di dalam Parlimen, di luar Parlimen, melalui pesanan teks, dan sebagainya. Malangnya, tiada maklum balas.

“Muda seolah-olah diperlekeh apabila Ketua Setiausaha PH (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) menjawab bahawa beliau tidak ada masa untuk membaca surat-surat kami, walaupun pejabatnya pada mula­nya bersetuju dengan tarikh yang ditetapkan tetapi membatalkannya pada saat-saat akhir,” kata­nya dalam kenyataan di sini.

Beliau merujuk kenyataan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang menasihatkan Muda tidak tergesa-gesa bertanding sendiri sebaliknya be­kerjasama dengan kerajaan bagi menghadapi Pilihan Raya Ne­geri (PRN).

Kelmarin Muda mengambil keputusan untuk bergerak secara solo menghadapi PRN tidak lama lagi.

Selain itu Syed Saddiq menambah, usaha pihaknya me­ngadakan pertemuan bertujuan untuk membincangkan membina Malaysia benar-benar bersifat harmoni, berpendirian sederhana dan berpusatkan reformasi bukannya meminta jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti berlaku pada hari ini malah tidak meminta diberikan kontrak.

“Muda berada di sini untuk memastikan masa depan Malaysia yang mapan dan membawa era politik baharu yang mana kepelbagaian diraikan dan kuasa dikembalikan kepada institusi berorientasikan rakyat dan bukan terpusat di tangan elitis politik.

“Saya setuju dengan panda­ngan Tan Sri (Kit Siang) me­ngenai Perikatan Nasional (PN) yang bermain naratif politik perpecahan dan perlunya ada alternatif. Kami ingin menjadi alternatif progresif itu, bukannya menanam ketakutan, perpecahan dan berpaksikan partisan yang dimainkan oleh elitis politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN