KUALA LUMPUR: “Kita tidak akan selamanya berada di sini tetapi kerja yang ada tidak akan selesai sehingga ia digalas oleh orang lain”.
Itu ucapan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.
Acryl Sani berkata, beliau berlapang dada dan penuh ikhlas meninggalkan PDRM kerana percaya pucuk kepimpinan baru dan warga polis kekal mantap melaksanakan tugas dengan sebaiknya.
“Berkhidmatlah dengan penuh semangat dan jitu untuk selesaikan masalah yang belum diselesaikan lagi,” katanya dalam Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima tugas Ketua Polis Negara (KPN) dan Timbalannya di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, beliau turut menyeru rakan-rakan sejawat agar tidak sama sekali mengambil kesempatan di atas PDRM dan pasukan keramat ini harus dijaga supaya kekal relevan sepanjang masa.
“Hari sangat bersejarah ini kita meneruskan tradisi pasukan PDRM yang kita sayangi dengan peralihan kuasa pelantikan KPN dan Timbalan yang baharu. Setinggi tahniah kepada mereka berdua.
“Sesungguhnya proses kepimpinan amat kritikal dalam tugas meneruskan perjuangan pasukan. Harap tugas yang dilaksanakan sebaiknya,” jelasnya.
Pada masa sama, Acryl Sani turut mengambil kesempatan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana prihatin terhadap beliau.
“Apabila saya telah suarakan hasrat akan menamatkan perkhidmatan awal sebelum 3 Oktober nanti, Perdana Menteri telah menawarkan perancangan untuk saya selepas bersara.
“Saya sungguh tak menjangkakan budi baik yang dipanjangkan untuk saya.
“Mungkin ada berasa pelik namun percayalah tiada apa yang pelik dan janggal dalam proses peralihan kuasa ini sebaliknya situasi memaksa saya memendekkan tempoh perkhidmatan untuk memenuhi keperluan diluar,” jelasnya. – UTUSAN










