Berhenti bersawah atau terpaksa hidup berhutang - Utusan Malaysia

Berhenti bersawah atau terpaksa hidup berhutang

PESAWAH muda berbincang mengenai masa depan mereka yang ketika ini disifatkan berada pada taraf kemiskinan di Paya Sepayang di Rompin, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Seorang pemuda yang sudah 20 tahun menjadi pesawah nekad berhenti meng­usahakan sawah pusaka milik keluarganya di Paya Sepayang di sini kerana tidak lagi sanggup menanggung kerugian.

Pemuda berusia lingkungan 30-an itu terpaksa berbuat demikian kerana sudah lima kali mengalami kerugian apabila hasil padi tidak menjadi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemuda itu yang hanya ingin dikenali sebagai Zul berkata, dia tiada pilihan dan terpaksa mencari kerja lain bagi menanggung keluarga memandangkan bersawah pada ketika ini seolah-olah sudah tiada masa depan.

“Sudah 20 tahun buat sawah macam-macam masalah, racun bukan sahaja mahal malah se­perti tidak berfungsi, sejak lima musim ini padi memang tidak menjadi. Ada sahaja masalah walaupun saya turun sawah pagi ke petang.

“Hutang makin bertambah dan duit buat kerja tiada pula­ngan kerana hasil merudum, jadi saya berhenti dulu kerana rasa begitu tertekan,” katanya yang sebelum ini mengusahakan sawah seluas 4.8 hektar di Paya Sepayang di sini.

Menurut Zul, pelbagai masalah seperti serangan serangga perosak, penyakit padi, padi angin dan cuaca yang tidak menentu serta peningkatan kos melibatkan racun dan sebagainya begitu membebankan golongan pesawah.

Katanya, buat sementara waktu, dia kini me­lakukan kerja-kerja kampung termasuk mengambil upah mesin rumput dan memotong buah sawit.

Seorang lagi pesawah, Subhi Bistaman, 49, berkata, daripada 7.3 hektar sebelum ini, dia kini hanya mampu mengusahakan 0.8 hektar kerana tidak berupaya mendapatkan modal.

Katanya, pemotongan subsidi di kawasan tanah yang masih dalam status permohonan itu juga membuatkannya terkesan dalam keadaan kos operasi se­perti racun yang semakin naik.

“Sudah berpuluh tahun saya buat sawah dan sejak beberapa tahun ini amat teruk kerana terpaksa berhutang untuk bayar mesin dan bajak.

“Kali ini tidak menjadi hasil kerana ada kawasan tanah seluas 1.21 hektar yang dapat hanya 500 kilogram, memang modal tidak dapat balik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN