Artis pun manusia, ada perasaan - Reen Rahim - Utusan Malaysia

Artis pun manusia, ada perasaan – Reen Rahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANGKUH, itu antara tohmahan yang dilemparkan segelintir warganet terhadap pelakon, Reen Rahim. Semua gara-gara perkongsiannya di media sosialnya baru-baru ini.

Dalam perkongsian tersebut, Reen mendakwa menerima aduan individu yang mengatakan kononnya pelakon itu semakin sombong dan tidak mahu bergambar dengan peminat.

Namun jawapan balas Reen dalam Instastorynya mengundang rasa kurang senang warganet yang ‘meluat’ dan tidak menyangka pelakon itu akan berang dengan situasi itu.

Jawablah mendapatkan pelakon Sumpahan Malam Raya itu. Benarkah dia sombong? Reen, Jawablah!

Bila ada yang mendakwa Reen semakin sombong sehingga tidak mahu bertegur peminat, apa perkara pertama terlintas dalam fikiran Reen? Terkejut? Marah dengan dakwaan itu?

Bila saya baca komen individu tersebut, saya sendiri tertanya-tanya bila masa pula saya sombong dengan peminat. Setakat ini tidak pernah pula ada yang cakap saya sombong.

Tetapi saya fikir, itu mungkin satu teguran tetapi menggunakan kata-kata yang kurang senang. Marah itu ada juga, sebab saya tidak pernah berkelakuan begitu. Jangan mudah jatuh hukum.

Adakah ketika itu Reen dalam keadaan yang memerlukan privasi dan lebih senang sendiri?

Mungkin juga, saya pun tidak pasti. Tetapi saya bukannya akan memarahi atau menengking peminat yang mahu bergambar. Memang tidaklah. Peminat adalah sebab saya masih di sini (industri seni).

Selalunya kalau saya memerlukan ruang sendiri bersama suami atau keluarga, saya akan tolak dengan baik. Kebanyakan peminat faham dan tidak memaksa. Saya fikir ini mungkin satu ‘gurauan kasar’.

Kita lihat sekarang ada trend membandingkan artis kurang ajar dan baik budi. Bagi Reen sendiri, adakah trend itu wajar?

Setiap orang termasuk saya sendiri ada idola masing-masing. Saya faham jika ada yang teruja mahu bergambar tetapi ada masa kita harus menghormati privasi seseorang.

Apa yang dikongsikan itu adalah pengalaman peribadi mereka. Mungkin ketika itu selebriti tertentu terlalu penat dan sudah menolak dengan baik permintaan peminat.

Cuma saya sedar, sebagai figura umum kita ada tanggungjawab untuk menyantuni mereka yang meminati kita. Kita tidak boleh sombong dan angkuh dengan sesiapa sahaja.

Adakah ini tohmahan yang mungkin sukar untuk diterima Reen? Sementelah ramai juga yang mempertahankan Reen dan meluahkan pengalaman beramah mesra dengan Reen.

Kalau kata ini yang paling teruk, tidaklah. Sudah namanya selebriti, kita memang tidak boleh lari daripada perhatian, kecaman dan penilaian umum.

Tetapi kami juga manusia. Ada hati dan perasaan seperti anda semua. Adakala kami penat dan tidak ada daya untuk beramah mesra dengan peminat untuk jangka masa lama.

Kongsikan perkembangan seni sekarang? Dengar cerita ada filem baharu?

Ya betul! Filem Su-On bakal menemui penonton Julai nanti. Sepanjang penggambaran memang banyak cabaran, bila anda tonton filem itu, baru anda tahu.

Saya juga sedang mempromosikan produk keluaran saya sendiri. Setakat ini produk kebersihan wanita itu menerima respons sangat baik. Saya gembira bila dapat membantu ramai wanita di luar sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya