JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat terlalu bergantung kepada UMNO dalam usaha mendapatkan sokongan masyarakat Melayu di negara ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hal itu kerana keputusannya melantik Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebagai jurubicara politik Kerajaan Perpaduan.
Katanya, situasi berkenaan melihatkan Presiden PKR itu terlalu taksub dengan parti lain dan bukan parti yang diterajuinya sendiri.
“Jika Anwar Ibrahim semacam taksub kepada UMNO dalam pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, maka tidak hairan jika ada pihak yang mengingatkan kata pepatah, adakah Anwar seperti ‘belut pulang ke lumpur’.
“Bagaimana nasib PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang mengibarkan panji-panji parti pelbagai kaum selama ini, adakah semua boleh dipajak-gadaikan,” soalnya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, situasi semasa telah menjadikan PKR yang merupakan parti pelbagai kaum manakala DAP yang majoritinya daripada masyarakat Cina kini terpaksa menerima hakikat survival politik mereka bergantung kepada faktor sokongan Melayu.
“Anwar selaku Perdana Menteri mungkin lebih popular berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin; Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ataupun Tun Dr. Mahathir Mohamad, namun PH yang diketuainya tidak mempunyai cukup sokongan pengundi Melayu tanpa bantuan UMNO.
“UMNO pula sekarang ini yang berada di bawah pimpinan Ahmad Zahid bukan parti sama pada zaman pimpinan Tunku Abdul Rahman ataupun Tun Abdul Razak, dimana Ahmad Zahid tidak mampu memperjuang nasib orang Melayu, apatah lagi untuk melindungi mereka.
“Hal ini kerana nasib Presiden UMNO itu sekarang di mahkamah pun masih belum pasti sama ada bebas atau masuk ke penjara seperti dialami bekas Presiden UMNO terdahulu, Datuk Seri Najib Razak,” ujarnya.
Hassan turut memberitahu, pada pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti, BN dan PH mungkin perlu mempertaruh naratif kerajaan Madani manakala Perikatan Nasional (PN) pula akan mengemukakan perjuangan Melayu dan Islam.
“Gandingan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dari Pas dan kini ditambah Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengemukakan naratif nasional mereka iaitu Melayu dan Islam sebagai panji-panji perjuangan mereka.
“Jadi apa pula panji-panji perjuangan Anwar Ibrahim serta Zahid Hamidi dengan pemimpin 19 parti komponen kerajaan perpaduan ketika ini. Mungkinkah naratif nasional kerajaan perpaduan ialah Malaysia Madani.
“Kalau jawapannya Ya, maka daripada segi politik adakah falsafah Malaysia Madani dapat memberi saingan kepada naratif Melayu Islam yang dibawa oleh PN dan mungkin ditambah perisanya dengan Proklamasi Orang Melayu dari Tun Mahathir,” soalnya lagi.
Sehubungan itu katanya, PRN di enam buah negeri tidak lama lagi dan PRU-16 empat tahun akan datang bakal menyaksikan pertembungan dua blok politik dominan sekarang iaitu blok kerajaan perpaduan Malaysia Madani dengan blok pembangkang Melayu Islam.- utusan