LANGKAWI: Kemunculan sekumpulan anjing liar di sekitar pantai tumpuan pelancong di sini, mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan pengunjung dan peniaga.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Pantai Chenang dan Pantai Tengah di sini mendapati, haiwan itu biasanya berkeliaran pada awal pagi.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Sophia, 43, berkata, dia pernah dikejar haiwan itu semasa beriadah di sekitar Pantai Tengah.
“Ketika itu saya sedang berjoging di sekitar pantai dan secara tiba-tiba sekumpulan anjing liar telah mengejar dan menggigit kaki saya.
“Saya telah laporkan masalah anjing liar ini kepada Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP), tetapi tidak mengetahui sekiranya ada tindakan diambil,” katanya.
Seorang pengusaha inap desa di Pantai Chenang, Mastazi Ahmad, 53, memberitahu, salah seekor kucing peliharaannya mati dipercayai akibat digigit anjing liar terbabit.
“Biasanya kawanan anjing liar ini bergerak pada awal pagi sebelum Subuh kerana saya pernah melihat lebih 10 ekor berkeliaran ketika membuat kerja di sekitar kawasan ini.
“Anjing liar ini juga sering menggigit sampah yang telah diikat dan menyebabkan sampah itu berterabur di sekitar kawasan ini yang secara tidak langsung mencacatkan pemandangan,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pekerja perkhidmatan jet ski di Pantai Tengah, Malik Abdullah, 25, berkata, terdapat anjing yang berada di kawasan itu membantu menjaga jet ski yang diletakkan di situ.
“Anjing yang berada di sini biasanya tidak mengganggu orang dan turut menjaga jet ski yang diletakkan di sini.
“Tetapi apabila ada anjing liar dari kawasan lain yang masuk ke sini, ia akan menjadi agresif kerana dari kawanan berbeza,” katanya.- utusan










