PETALING JAYA: Terkenal dengan imej dan fesyen luar biasa, penyanyi, Aina Abdul tampil bersederhana dan anggun mengenakan persalinan berwarna biru dan hijau ketika menjayakan persembahan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), kelmarin.
Di sebalik fesyen yang minimalis itu, Aina tetap mencuri tumpuan apabila memakai tajaan barang kemas mencecah nilai jutaan ringgit.
“Saya memang pilih untuk pakai begini (fesyen sederhana) sebab banyak lagu yang perlu bereksperimental.
“Kos barang kemas dan perhiasan ini bernilai RM1.6 juta,” katanya semasa sidang akhbar selepas menjayakan persembahan A Night with Aina Abdul selama satu jam 15 minit di sini, Sabtu lalu.
Aina memulakan persembahan dengan beberapa judul lagu bahasa Inggeris seperti Blue, Reminiscing, serta medley lagu Indonesia sebelum mengakhiri persembahan dengan lagu hitsnya, Sumpah, Semalam, Sepi dan Terus Hidup.
Dalam pada itu, Aina turut menzahirkan penghargaan kerana hasratnya untuk mengadakan persembahan dan jelajah di universiti tercapai dengan UM menjadi lokasi pertama.
Katanya, UM adalah universiti pertama yang mengalu-alukan kedatangannya selepas dia berusaha mendekati beberapa lokasi lain yang mempunyai kos pengajian muzik.
“Idea untuk buat persembahan sempena edisi universiti muncul semasa saya buat konsert Aina Abdul 2.0. Waktu itu dapat banyak kritikan yang mengatakan harga tiket tidak mesra golongan pelajar.
“Sejak itu, saya rasa bersalah sangat dan hujung tahun lepas cakap dengan pengurus saya untuk mengadakan persembahan di universiti. Banyak juga universiti yang bagi maklum balas semula selepas kita lancarkan harga tiket di UM.
“Namun, disebabkan saya sedang membuat persiapan dan persediaan menjelang konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil, 18 November depan, kita akan pergi ke dua universiti lagi dan selebihnya akan bersambung tahun depan bagi edisi jelajah universiti,” katanya.