KUALA LUMPUR : Lima tahun membina nama sebagai sebuah akedemi Al-Quran, AKMAL, terus komited dalam usahanya melahirkan lebih ramai golongan tahfiz yang mahir dengan hafazan 30 juzuk Al-Quran termasuk syahadah.
Menurut Pengerusi AKMAL, Senator Tuan Haji Hussin Ismail, satu daripada impianya adalah dalam melahirkan lebih ramai tahfiz dalam tempoh kurang setahun menerusi akademinya itu.
“Besar harapan kami dalam melihat negara kita mempunyai ramai golongan tahfiz yang berkualiti dan berkemahiran dalam hafazan 30 juzuk Al-Quran termasuk syahadah.
“Sasaran kami pada tahun ini adalah mahu melahirkan lebih ramai para tahfiz dalam tempoh kurang setahun. Justeru antara inisiatifnya adalah dengan menambah akademi ini bagi memberi lebih banyak ruang dan peluang.
“Lokasi baharu yang akan dibuka ialah bertempat di Seremban (Negeri Sembilan), Sungai Petani (Kedah), Kuala Kangsar (Perak), Kelantan dan Kuantan (Pahang),”katanya.
Hussin berkata demikian dalam Majlis Haflah Takrimiyah Graduasi AKMAL 4.0 yang diadakan baru-baru ini di Pusat Konvesyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Majlis yang dihadiri 2000 tetamu itu turut dirasmikan oleh Mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Tan Sri Dato Seri Abdul Hadi Awang mantan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia dan diserikan kehadiran barisan Exco Agama Kerajaan Negeri Terengganu.
Pada majlis tersebut, seramai 140 orang pelajar berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang dengan sembilan daripadanya bergelar Syahadah.
“Kita turut bangga salah seorang pelajar yang diraikan iaitu Tengku Maisarah yang juga anakanda kepada pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun dan suami, Ustaz Tengku Fadzli.
“Puteri ketiganya itu menjadi Hafizah Al-Quran dalam tempoh tujuh bulan di AKMAL. Kejayaannya dan semua amat membanggakan kami dan tentunya keluarga mereka,” kata Husin.
Sementara itu, Ustazah Asma turut berkongsi kegembiraan dan kesyukuran di platform laman sosial mengenai kejayaan puterinya yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik itu.
“Terasa sebak dan sayu. Saya sendiri baru tahu anakanda kami, Maisarah (Tengku Maisarah) berjuang dalam tempoh 7 bulan 10 hari untuk khatam hafazan 30 Juzuk Al-Quran. Maklumat tersebut saya baca daripada jemputan rasmi acara dianjurkan. Kami memang menyaksikan kesungguhan, nekad dan air mata kelelahan Maisarah.
“Kami tak pernah memaksa atau meminta untuk Maisarah selesaikan hafazan dalam tempoh yang secepat ini. Namun, setiap kali jumpa, Maisarah akan minta doa dan beritahu bila impian khatam hafazannya.
“Semua dengan izin dan pertolongan Allah jua. Terima kasih semua termasuk para guru dan pihak AKMAL. Juga kalian yang selama ini turut mendoakan, moga kembali pada kalian,”katanya.










