Gunung sampah

Gunung sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bau busuk bukan lagi musuh bagi Pian. Hidungnya sudah sebati dengan keadaan di sekeliling. Di bawah langit kelabu dan sisa pembakaran, Pian membenamkan jarinya ke dalam perut ‘gunung’ sampah tanpa mempedulikan sesiapa. Itulah rutin hariannya apabila pulang dari sekolah.

 

Mencari sesuap nasi dengan mendampingi gunung sampah sudah menjadi rutin harian yang dipaksa oleh kehidupan.

Pian antara salah sebuah keluarga yang tinggal berdekatan kawasan tapak pelupusan sampah. Lebih kurang 50 keluarga masih tinggal di situ. Bukan tidak mahu berpindah tetapi disebabkan fasa perpindahan berperingkat menyebabkan mereka masih kekal di situ.

“Apa yang kau dapat? Aku dapat ini!” Laung Meor dari atas puncak gunung sampah dengan gembira.

Pian mendongak ke arah Meor. Di tangan Meor ada sebuah telefon bimbit yang berwarna hitam. Pian hanya menunjukkan isyarat bagus. Sebenarnya sejak dari tadi dia langsung tidak mendapat apa-apa habuan daripada hasil galiannya. Kebanyakan longgokan sampah itu hanyalah sisa makanan, lampin pakai buang dan juga tilam lama yang sudah kusam warnanya. Rasa sebal mula menghantui jiwanya. Kebiasaan, dia akan mendapat hasil yang agak lumayan untuk dibawa pulang. Tetapi untuk kali ini, nasib tidak menyebelahi dirinya.

Ah, sepatutnya aku mencari botol-botol plastik yang kosong bukannya mencari membuta tuli. Dan sekarang padan muka aku! Getusnya di dalam hati.

Bagi Pian, gunung sampah itu diibaratkan seperti menyelam di dasar lautan untuk mengutip mutiara yang tersimpan di dalam tiram. Samalah dirinya dengan menyelam di daratan sampah untuk mendapatkan sesuatu yang sangat berharga. Jika nasibnya baik, dia akan menjumpai wang kertas, kasut bola, atau botol-botol yang dapat dikitar semula dan dijual ke Taukeh Lim. Atau jika nasibnya berlipat kali baik barangkali dia akan mendapat barang kemas tanpa diduga.

Di gunung sampah Pian mendapati ia terdiri daripada sisa bahan yang tidak lagi diingini, digunakan, atau dibuang hasil daripada aktiviti manusia, isi rumah, komersial, dan proses alam.

Pernah juga Pian mencari jawapan sendiri mengapa sampah dibuang terlalu banyak? Sebenarnya, sampah-sampah itu datangnya dari pelbagai kawasan sama ada perumahan atau pun kawasan perindustrian.

Dianggarkan kira-kira 37,000 hingga 38,000 tan metrik sampah dihasilkan pada setiap hari. Secara purata, setiap individu di negara ini menyumbang sekitar 1.17 kg sisa pepejal sehari. Kebanyakan sisa pepejal dihantar ke pusat pelupusan sampah dan berkemungkinan pada tahun 2050 keadaan akan semakin buruk dengan kemunculan gunung-gunung sampah yang baru sekiranya tidak dikawal.

“Pian! Dah nak senja, aku balik dulu!” Jerit Meor dari atas puncak menyebabkan Pian tersentak.

Sudah lama dia menggali dan mencangkung di situ. Guni plastik yang diikat di pinggangnya masih kosong. Dia kembali termenung memikirkan tentang adik bongsunya yang sedang sakit. Penyakit asma kronik sejak dari lahir amat menggusarkan hatinya. Pian tinggal dengan abang, adik dan seorang ibu manakala ayahnya pula sudah lama meninggal dunia.

Untuk menampung kehidupan keluarga, abangnya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang yang terletak tidak jauh dari rumah mereka. Manakala ibunya pula hanya berniaga nasi lemak di tepi jalan. Pian, bersekolah di Tingkatan Tiga manakala adik bongsunya tidak bersekolah dan hanya terlantar sakit.

Bunyi burung gagak mengejutkan Pian dari lamunannya. Serta-merta Pian bingkas bangun dan berjalan menelusuri gunung sampah perlahan-lahan. Dia perlu berhati-hati kerana kawasan permukaan gunung sampah yang tidak kukuh. Kadang-kala ada sahaja sampah-sampah menggelungsur sendiri seolah-olah berlaku pergerakan tanpa sebarang amaran. Gunung sampah setinggi empat tingkat itu ditinggalkan di situ. Pian berjalan pulang dengan perasaan hampa.

“Baru balik? Hendak jadi apa, kamu ni Pian?” Soal ibu dengan nada marah.

Pian hanya menundukkan kepala. Dia tahu jika dia membalas kata-kata ibunya pasti keadaan akan menjadi lebih tegang. Pian meletakkan guni plastik di atas meja usang di hadapan rumah.

“Sudah banyak kali ibu melarang kamu ke gunung sampah. Tetapi kamu masih degil dan masih juga pergi ke sana. Apa, masih tak cukupkah makanan di rumah ini sehingga sanggup menggadai nyawa ke gunung itu?” Tanya ibu sambil membeliakkan mata kepada Pian.

Pian tidak menjawab. Sudah berulang kali ayat yang sama menerjah gegendang telinganya. Dia sudah lali. Dia sudah faham.

“Kau tak pernah serik. Dua hari lepas, ada orang yang tertimbus di dalam gunung sampah itu. Kau tak rasa takutkah Pian? Soal ibunya lagi sambil mengetap bibir.
Iya, dua hari lalu seorang remaja lelaki tertimbus di gunung sampah itu.

 

Heboh di dalam surat khabar dan di media sosial tentang berita tersebut. Gunung sampah itu digambarkan seperti seekor raksasa yang memberi rezeki tetapi dalam masa sama mencari mangsa untuk ditelan hidup-hidup.

Masyarakat tidak melihat kehilangan nyawa bagi penduduk setinggan di kawasan itu sangat penting dalam kehidupan mereka. Nyawa manusia turut dianggap sampah hasil daripada sisa buangan mereka sendiri. Tidak siapa pun peduli. Sekiranya mereka peduli pasti mereka tidak akan membuang sampah di merata-rata tempat. Pasti mereka tahu bagaimana menguruskan sampah tanpa membina gunung sampah itu.

Sepatutnya bahan-bahan seperti surat khabar, majalah, kotak kadbod, botol minuman, bekas makanan, botol sabun, tin aluminium, botol kicap, balang makanan boleh sahaja dikumpul, diasingkan dan dijual semula manakala sisa makanan boleh dijadikan baja kompos untuk menyuburkan tanaman. Semua ini bagi mengurangkan pencemaran, menjimatkan tenaga dan memelihara alam sekitar.

“Pian! Kau dengar tak apa yang ibu tanya ini?” Tanya ibunya lagi.

Pian hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja.

“Sebenarnya, ibu sayangkan kau. Ibu tak mahu kau menjadi korban kepada gunung sampah itu lagi.”

Di tubir mata ibunya kelihatan cecair jernih yang bila-bila masa sahaja akan mengalir di pipi. Ibu Pian teringat kembali tentang pesanan arwah suaminya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Jangan kau biarkan anak-anak kita merayau-rayau di gunung sampah itu. Kata orang di situ ada puaka yang sedang menunggu mangsanya.” Kata Pak Majid, ayah Pian terketar-ketar.

Pak Majid dahulunya pekerja pembersihan di sebuah syarikat pelupusan sampah. Kerja sehariannya bergelumang dengan mengutip sampah dan menguruskan pergerakan sampah yang masuk ke pusat pelupusan sampah itu dengan lancar. Pekerjaan Pak Majid memerlukan daya tahan fizikal yang tinggi kerana terdedah kepada bahaya dan bau busuk pada setiap hari. Namun demi mencari rezeki yang halal, Pak Majid menerima situasi itu dengan berlapang dada.

Di sebalik timbunan sampah itu, Pak Majid melihat ada rezeki tambahan yang orang lain tidak tahu akan nilainya. Selepas waktu bekerja, Pak Majid akan mencari barangan terpakai dan kadang kala hasil jualan barangan terpakai itu dia memperoleh pendapatan antara RM100 hingga RM200 seminggu.

Kadang-kala, di kawasan tempat pelupusan sampah itu ada sahaja segelintir pencari sampah yang membakar alatan elektrik yang dibuang untuk mendapatkan logam di dalamnya. Justeru, tidak hairanlah sekiranya tempat pelupusan sampah itu sentiasa berasap. Natijah daripada pembakaran itu, toksin berbahaya seperti dioksin dan furan dibebaskan menyebabkan abu beracun mencemarkan tanah serta sumber air.

Pak Majid sakit juga berpunca daripada pembakaran tersebut. Dia sering batuk-batuk kerana terhidu asap toksik. Sebab itulah dia tidak mahu anak-anaknya menerima nasib yang sama seperti dia.
“Ibu, adik!” Jerit Pian menyebabkan ibunya terkejut dari lamunan.

Ibu menghampiri adik yang terbaring lesu di atas tilam usang. Adik tercungap-cungap seperti sesak nafas. Ibu mengurut dada adik perlahan-lahan. Nafas adik turun naik tanpa henti. Pian memanggil adiknya berulang kali.

Pian mula menangis apabila melihat situasi adiknya yang tidak menentu. Air mata Pian membasahi pipi.

“Adik, bangun adik. Abang Pian kan dah janji akan berikan kasut baru untuk adik. Nanti Abang Pian carikan untuk adik.” Kata Pian sambil mengusap wajah adiknya berulang kali.

Sudah acapkali Pian berjanji kepada adiknya. Sempena hari lahir adik bongsunya, Pian ingin menghadiahkan sepasang kasut untuk dipakai adiknya nanti.

Namun, Pian tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelinya. Dia sudah berkira-kira sekiranya dapat mengumpul botol kosong atau barang-barang terpakai dari gunung sampah itu pasti dia akan dapat membeli kasut tersebut.

Pian pasti adiknya gembira dengan hadiah hari lahir itu nanti. Justeru, disebabkan itulah dia hanya memekakkan telinga apabila dimarahi ibunya hanya kerana ingin mengotakan segala janjinya dengan wang hasil kerjanya nanti.

Pian tertidur di sebelah adik dan dia bermimpi ada sepasang kasut baru di sisi adiknya. Adik bangun dari tilam sambil mengayakan kasut itu dengan berjalan ke sana dan ke sini. Pian ketawa terkekek-kekek apabila melihat adik bongsunya itu menari-nari sambil menunjukkan kasut baru. Tiba-tiba, Pian melihat adik melambai-lambai seperti ingin meninggalkan dirinya. Pian terkejut jaga lantas bingkas bangun. Pian menggenyehkan mata berulang kali. Dia melihat adik bongsunya sedang nyenyak tidur.

Ah, mimpi rupanya. Biarlah menjadi kenyataan hari ini. Getus Pian di dalam hati.

Pagi Sabtu itu, Pian bangun dengan semangat membara. Misi untuk mengumpulkan wang membeli kasut adiknya jelas terpampang di ruang matanya. Pian keluar dari rumah lalu menuju ke bilik air yang terletak di tepi rumah. Pian mandi sambil membayangkan kasut baru untuk hari lahir adik bongsunya.

Usai mandi, Pian ke dapur dan membuka tudung saji. Ketika tudung saji dibuka, bau aroma nasi lemak buatan ibunya menerjah-nerjah rongga hidung. Pian makan sehingga kenyang. Kemudian, Pian keluar dari rumah dengan membawa guni plastik. Kelibat ibu dan abangnya langsung Pian tidak nampak. Barangkali ibu dan abangnya sudah pergi bekerja. Pian menyanyi-nyanyi kecil sambil berjalan.

Pian tiba di kaki gunung sampah dan mula mendaki. Kali ini dia akan berusaha bersungguh-sungguh demi sepasang kasut baru untuk adiknya. Pian gigih mencari botol kosong. Pian membenamkan jemarinya ke dalam perut gunung itu. Tiba-tiba, tangannya menyentuh sesuatu yang lembut. Bukan plastik dan bukan sisa makanan. Dia menarik keluar sepasang kasut yang masih putih bersih di dalam plastik. Saiznya tepat untuk adiknya. Pian tersenyum ketika membayangkan wajah riang adiknya.

Namun senyumannya mati apabila bumi di bawah kakinya mula bergegar. Runtuhan sisa pepejal setinggi bangunan empat tingkat itu mula menggelongsor jatuh. Dalam saat-saat akhir itu sebelum kegelapan menyelubunginya, Pian hanya sempat memeluk erat kasut putih itu. Pian sedar gunung yang memberinya makan akhirnya datang untuk menuntut nyawanya sendiri.

Operasi menyelamat menemui mayat Pian yang masih memegang erat hadiah hari lahir adiknya. Ahli keluarga Pian hanya meraung melihat tubuh kaku Pian di situ. Gunung sampah menjadi saksi seorang lagi mangsa terkubur hanya kerana mencari rezeki di situ. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×