TANJUNG MALIM: Anugerah Pendidik Global (GEA) 2026 menyasarkan 1,000 penyertaan daripada 80 negara selain peningkatan kategori pemenang iaitu 10 berbanding lima sebelum ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, GEA 2026 telah melangkah lebih jauh dengan pendekatan lebih inklusif sehingga terkenal dalam peringkat antarabangsa.
“Penganjur telah menetapkan sasaran yang signifikan iaitu 1,000 penyertaan daripada 80 negara. Ini bukan sekadar angka, tetapi satu komitmen untuk memperluas capaian global dan memperkukuh kedudukan GEA 2026 sebagai platform antarabangsa yang berpengaruh.
“Sebagai galakan kepada penyertaan berkualiti tinggi, GEA 2026 turut menawarkan geran kewangan berjumlah USD 60,000 (RM237,907.32) mencerminkan kesungguhan mengiktiraf dan memperkasa pendidik untuk terus berinovasi serta memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata sedemikian pada ucapan sempena Majlis Pelancaran Anugerah Pendidik Global (GEA) 2026 di Dewan Tuanku Canselor UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di Tanjung Malim hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff.
Katanya lagi, GEA 2026 bukan sekadar anugerah tetapi satu gerakan global yang meraikan dedikasi, kecemerlangan dan menghubungkan komuniti pendidik serta instisusi merentasi sempadan.
Sebelum ini, GEA 2025 berjaya menarik 578 pencalonan daripada 58 negara merangkumi kategori anugerah.
Sementara itu, Karnival Jom Masuk U (JMU) 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.
Md. Amin berkata, karnival tersebut merupakan kemuncak bagi Zon Tengah II pada tahun ini.
“Sepanjang dua hari penganjuran, karnival ini telah mencatatkan pencapaian yang amat memuaskan dengan 74 reruai pameran instisusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi pendidikan, kehadiran lebih 20,000 pengunjung dengan penglibatan seramai 60 gerai usahawan.
“Program kali ini membawa dimensi baharu melalui pendekatan DreamX iaitu satu manifestasi komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mencungkil potensi, memperkasa pilihan dan membimbing masa depan generasi muda,” katanya.
Katanya lagi, keistimewaan karnival tersebut ialah terdapat perkongsian inspirasi atlet negara UPSI untuk menyuntik semangat generasi muda. – UTUSAN








