Abang kata nak balik rumah semalam – Nur Faziera

Abang kata nak balik rumah semalam – Nur Faziera

NUR Faziera Izam (dua,kanan) tidak dapat menahan sebak semasa menyiram pusara suaminya, Mohd. Syuib Bidin (gambar kecil) yang terkorban dalam insiden letupan bom dalam sesi latihan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kapor, Binjai, Kemaman, semalam. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: “Abang kata nak balik rumah hari ini (semalam),” luah balu Allahyarham Koperal Udara (U) Mohd. Syuib Bidin, Nur Faziera Izam, semasa menyiram air di pusara suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Kapor, Binjai, di sini semalam.

Itulah luahan rasa isteri Allahyarham yang tidak dapat menahan sebak semasa majlis pengebumian jenazah suaminya yang terkorban dalam insiden letupan bom tangan semasa sesi latihan di Kem Syed Sirajudin, Gemas kelmarin.

Bagaimanapun, dia yang masih terkejut dengan pemergian suaminya enggan mengulas panjang dan ditemu bual.

Allahyarham Mohd. Syuib yang merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (Instar), Pangkalan Udara Sendayan, Johor, meninggalkan seorang balu, Nur Faziera, 29, dan sepasang cahaya mata berusia empat tahun dan setahun empat bulan.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi tanah perkuburan apabila sebahagian daripada 100 ahli keluarga dan anggota Tentera Udara Ditaja Malauysia (TUDM) yang hadir memberi penghormatan terakhir gagal menahan sebak ketika upacara pengebumian.

Jenazah selesai dikebumikan mengikut istiadat pengebumian TUDM kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Terdahulu, jenazah yang di­terbangkan menggunakan Helikopter EC 725 milik TUDM dari Kem Empat Rejimen Artileri Diraja Gemas, Negeri Sembilan tiba kira-kira pukul 10.40 pagi di Kolej Vokasional Kemaman dan dibawa ke Masjid Jamek, Binjai untuk disolatkan.

Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim menyerahkan Jalur Gemilang kepada isteri Allahyarham pada penghujung istiadat pengebumian tersebut.

Sementara itu di Segamat, kakak Allahyarham, Noraziah Bidin memberitahu, adiknya sempat menghubungi beliau petang kelmarin sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Waktu dia telefon, saya tidak tahu apa-apa sebab adik saya beritahu dia kena bom. Selepas itu saya tidak tahu apa-apa dan bila sudah dekat Maghrib, baru tahu adik saya sudah meninggal dunia.

“Dia sangat baik selalu bantu orang, seorang yang periang, baik hati dan sering membantu keluarga daripada pelbagai sudut,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Segamat.

Menceritakan rentetan kejadian, Noraziah diberitahu kesihatan adiknya merosot pada tengah hari kelmarin di Hospital Segamat dan kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada pukul 6 petang.

Noraziah memberitahu, Mohd. Syuib dan keluarganya telah mengemas pakaian sejak beberapa hari lalu untuk pulang ke kampung di Sik, Kedah bagi meraikan Hari Raya Aidiladha dan kali terakhir berjumpa adiknya beberapa bulan lalu.

“Namun saya sering mengambil tahu tentang perkembangan terkininya dan keluarga menerusi telefon.

“Saya amat sedih dan terkilan kerana tidak sempat menyambut Aidiladha bersama-sama arwah. Namun saya dan seluruh ahli keluarga reda dengan pemergiannya,” kongsinya dalam nada hiba.

Dalam insiden yang menyayat hati semalam, seorang penuntut, Laskar Udara I, Mohd. Iqmal Masdi, 22,  disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat letupan bom tangan semasa proses Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) di Tapak Latihan Grenade Asas di Kem Syed Sirajudin, Gemas.

Selain Mohd. Syuib, seorang lagi jurulatih, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, berasal dari Kluang kini menerima rawatan di Hospital Segamat dan keadaannya dilaporkan stabil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN