PETALING JAYA: Draf Kertas Putih Kesihatan menggariskan empat tonggak dan 15 strategi bagi meningkatkan sistem kesihatan awam di negara ini yang dibelenggu dengan pelbagai isu sejak sekian lama.
Selepas berpuluh tahun berhadapan dengan pelbagai halangan untuk dilaksanakan, kertas putih ini bakal mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem kesihatan awam negara.
Ia hasil iltizam dan kerjasama pelbagai pihak tanpa mengira fahaman politik termasuk menteri terdahulu dan direalisasikan oleh Menteri Kesihatan sekarang, Dr. Zaliha Mustafa yang membawa kertas putih ini bagi dijadikan garis panduan penambahbaikan sistem kesihatan awam negara untuk tempoh 15 tahun akan datang.
Tekad untuk mereformasi sistem kesihatan negara telah diterjemahkan oleh Dr. Zaliha secara sistematik termasuk melalui libat urus semua pemegang taruh dan pendekatan bipartisan.
Penambahbaikan dan penstrukturan semula ini akan memberi manfaat kepada 33 juta rakyat Malaysia di samping sebagai langkah persediaan menghadapi cabaran baharu termasuk kemungkinan pandemik di luar jangka.
Buat julung kalinya kerajaan membentangkan dokumen mengandungi 59 muka surat dengan mencadangkan reformasi secara sistematik dan berstruktur dalam tempoh 15 tahun bukan sahaja demi menangani cabaran mendatang, malah bagi memastikan sistem kesihatan lebih saksama, mampan dan berdaya tahan.
Kertas Putih Kesihatan yang dimuatnaik dalam laman web Parlimen semalam menggariskan empat tonggak dan 15 strategi antara lain menyentuh kadar fi di fasiliti kesihatan awam dan kajian semula komprehensif pengambilan perjawatan petugas kesihatan termasuk berstatus kontrak serta membangunkan pakej manfaat kesihatan rakyat.
Empat tonggak berkenaan menyentuh soal mentransformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan, mempertingkatkan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit, memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan dan saksama serta memperkukuhkan landasan dan tadbir urus sistem kesihatan.
“Kadar fi rendah yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam adalah antara ciri sistem kesihatan negara yang amat dihargai rakyat, di mana ia membolehkan akses kepada sistem kesihatan pada kos yang berpatutan.
“Namun begitu, struktur fi yang sama untuk semua telah menyumbang kepada ketidaksamaan besar antara bayaran yang dikenakan berbanding dengan kos penyediaan dan keupayaan untuk membayar terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan tinggi.
“Untuk menambah baik kemapanan pembiayaan penjagaan kesihatan awam, kadar fi yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dikaji semula agar lebih sepadan dengan tahap kemampuan.
“Meskipun demikian, jaringan keselamatan isi rumah berpendapatan rendah akan dikekalkan,” jelas Kertas Putih Kesihatan itu yang boleh dibaca menerusi pautan https://www.parlimen.gov.my/ipms/eps/2023-06-12/CMD.29.2023%20-%20CMD%2029.2023.pdf.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan isu caj RM1 yang dikenakan klinik kesihatan kerajaan mencetuskan pelbagai pandangan termasuk ada menyifatkan fi sedia ada sebagai tidak masuk akal terutama ketika nilai kos rawatan semakin meningkat dan wajar dinaikkan kepada RM5 hingga RM20,
Berbanding klinik swasta, rawatan sakit demam atau selesema sahaja, caj sebanyak RM70 hingga RM90 akan dikenakan bagi konsultasi dan ubat-ubatan. Malah sekiranya kerajaan menaikkan kepada RM10, ia masih dikira murah.
Dalam masa sama, kertas putih itu juga mencadangkan beberapa inisiatif meningkatkan pelaburan kesihatan secara sistematik dan teratur antaranya menjalankan kajian semula dan semakan struktur fi di fasiliti penjagaan kesihatan sektor awam dan kajian teknikal, mereka bentuk dan membangunkan model caruman kesihatan progresif yang mampan dan saksama termasuk mekanisme subsidi bersasar.
Menyentuh tonggak kedua iaitu memastikan rakyat menerima perkhidmatan komprehensif, Kertas Putih Kesihatan mencadangkan pelaksanaan insiatif seperti mewujudkan dana kesihatan khusus dengan kawal selia yang jelas dan telus untuk membolehkan pengkongsian risiko dan memenuhi penyediaan perkhidmatan kesihatan berdasarkan pakej manfaat kesihatan.
Bagi tonggak ketiga pula, turut dicadangkan mentransformasikan penjagaan kesihatan primer, mengukuhkan fungsi kesihatan awam dan merangsang pendekatan bersifat promotif dan preventif adalah selari dengan matlamat ke arah pengagihan peruntukan sistem kesihatan yang lebih efisien dan emastikan perbelanjaan penjagaan kesihatan yang cekap dan berkesan
Seterusnya tonggak terakhir berkaitan cadangan kajian semula yang komprehensif dan unjuran jawatan untuk pengambilan anggota sektor awam apabila usaha itu adalah untuk memenuhi keperluan semasa dan pada masa hadapan daripada segi bilangan, jenis profesion, campuran kemahiran dan ketidakseimbangan antara wilayah. – UTUSAN










