PETALING JAYA: Sebanyak 30,069 panggilan membabitkan pelbagai kes penipuan kewangan dan pertanyaan direkodkan sejak Oktober lalu hingga April tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Mustafar Ali berkata, daripada jumlah itu, 11,858 panggilan melibatkan mangsa scammer membabitkan kerugian RM104.8 juta.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,595 kes penipuan telah disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan curang dan mendorong supaya menyerahkan harta. Kita juga berjaya membuka 33 kertas siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dengan menyelamatkan RM34.8 juta milik mangsa daripada dikaut penjenayah.
“Kesemua wang diselamatkan boleh diserahkan semula kepada mangsa namun ia mengambil masa kerana perlu melalui beberapa proses perundangan yang diputuskan oleh mahkamah,” katanya di sini baru-baru ini.
Menurut Mustafar, berdasarkan penilaian risiko kebangsaan (NRA) oleh Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC), terdapat lima jenayah kewangan iaitu isu penipuan, narkotik, rasuah, penyeludupan dan jenayah terancang serta jenayah alam sekitar.
Katanya, namun jenayah penipuan atau scammer dilihat sangat membimbangkan apabila trend yang sentiasa berubah sehinggakan ada mangsa daripada golongan profesional selain ia merentasi sempadan melibatkan mangsa dan suspek di negara lain.
Bagaimanapun, jelas beliau, penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada Oktober tahun lalu melalui kerjasama agensi penguat kuasa serta pihak bank membantu menangani isu penipuan dalam menyelamatkan wang mangsa daripada dikaut scammer melalui proses tertentu.
“NSRC ini menggabungkan sumber dan kepakaran daripada NFCC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi-institusi perbankan serta syarikat perkhidmatan telekomunikasi yang sangat membantu dalam penyiasatan dan tindakan agensi terlibat.
“Ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan ini jadi kita sangat menyeru mana-mana individu yang menjadi mangsa atau telah berkongsi maklumat peribadi perbankan kepada mereka tidak dikenali atau scammer terus melaporkan kepada NSRC atau 997. Dari situ, mangsa kemudian akan dibantu ejen untuk membuat laporan bagi tindakan lanjut dijalankan antaranya pembekuan akaun bank dan sebagainya.
“Ini kerana kegiatan penipuan ini melibatkan banyak lapisan, daripada akaun keldai kemudian akan dipindahkan ke akaun keldai lain. Panggilan aduan ini mampu memastikan wang mangsa dapat diselamatkan, jika tidak sepenuhnya mungkin sebahagiannya daripada ia dikaut penjenayah,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kewujudan NSRC telah membantu penguat kuasa dalam usaha menangani jenayah penipuan yang berleluasa.
“Kerjasama pelbagai agensi bagi melalui NSRC banyak menambah baik dari segi tindakan polis membantu mangsa scammer yang sebelum ini tiada pembelaan secukupnya. Kita sangat mengalu-alukan individu yang merasakan dirinya menjadi mangsa scammer untuk terus membuat laporan secepat mungkin kepada NSRC kerana pelbagai tindakan boleh diambil daripada pihak polis hinggalah kepada pihak bank.
“Justeru, kita minta jangan mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau panggilan yang diterima kerana pihak polis atau mana-mana agensi tidak akan menggunakan kaedah melalui panggilan dengan mendakwa ada melakukan kesalahan serta akan membekukan akaun bank,” katanya. – UTUSAN










