284 termasuk influencer ditahan dalam Op Samseng Jalanan

284 termasuk influencer ditahan dalam Op Samseng Jalanan

SEBAHAGIAN 284 individu yang ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Pegawai, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketika umat Islam bergembira meraikan sambutan Aidiladha, seramai 284 individu ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Pegawai, di sini sejak malam kelmarin hingga awal pagi semalam.

Malah, seorang pempengaruh media sosial yang dianggap ikon permotoran berusia 23 tahun turut dicekup dalam operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Kota Setar yang bermula pukul 11 malam hingga 3 pagi semalam.

Dia yang ditahan bersama sekumpulan remaja lain dikenakan empat tindakan saman Pol 257 atas pelbagai kesalahan trafik.

Terdahulu, polis mengesan aktiviti samseng jalanan melibatkan sekumpulan besar remaja bermotosikal sebelum anggota dari semua bahagian dan balai digerakkan ke lokasi.

Hasil intipan dan pemantauan hampir dua jam kemudiannya membawa kepada penahanan 284 motosikal yang mana kepungan secara menyeluruh dari setiap sudut Jalan Pegawai menyebabkan penunggang motosikal gagal meloloskan diri.

Polis turut memeriksa penonton yang berada di lokasi iaitu di kiri dan kanan jalan. Kesemua individu yang ditahan seterusnya terpaksa menolak motosikal dari lokasi ke BSPT Kota Setar sejauh kira-kira 3 kilometer.

Namun, mereka dibebaskan selepas urusan dokumentasi termasuk berkaitan saman selesai pada pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, operasi tersebut dilakukan oleh 58 pegawai dan anggota polis termasuk Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM).

Katanya, mereka yang diperiksa terdiri daripada 281 lelaki dan tiga perempuan dengan 10 daripadanya adalah remaja bawah umur termasuk lapan masih bersekolah.

“Sebanyak 194 saman dikeluarkan melibatkan 47 kesalahan tiada lesen memandu, nombor pendaftaran (40), ubah suai (25), cermin sisi (23), tidak pamer pelekat P dan L (22), aksesori (17), tiada insurans (12), cukai jalan tamat tempoh (5) dan lesen tamat tempoh (3).

“Sebanyak 50 motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini hari ini.

Kata beliau, kesemua yang ditahan dibebaskan sebaik proses dokumentasi dan urusan saman selesai, manakala waris bagi remaja bawah umur yang tidak mempunyai lesen dipanggil dengan saman dikeluarkan ke atas pemilik motosikal.

“Kita polis ini sayang kepada semua golongan, lebih-lebih lagi golongan remaja kerana mereka ini adalah aset dan harapan negara tetapi apabila salah guna motosikal di jalan raya dengan merempit, ia satu kesalahan kerana boleh menyebabkan kecederaan, malah kematian.

“Pada pagi raya korban ini mereka telah mengorbankan hari raya mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh turut hadir dan memberikan nasihat kepada kesemua mereka yang ditahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN