20,000 jadi mangsa aplikasi peras ugut ah long

20,000 jadi mangsa aplikasi peras ugut ah long

Pelaburan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 20,000 aduan dan panggilan dari seluruh negara diterima oleh Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) mengenai aplikasi peras ugut dioperasikan oleh sindiket sejak tiga tahun lalu.

Utusan Malaysia dimaklumkan bahawa setakat ini terdapat lebih 60 aplikasi peras ugut yang boleh dimuat daripada pelbagai platform walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah melakukan pelbagai usaha untuk memadan dan menyekat aplikasi tersebut.

SAMSUDIN MOHAMAD FAUZI

Mendedahkan modus operandi sindiket tersebut, Yang Dipertua PKPKL, Samsudin Mohamad Fauzi berkata, aplikasi tersebut didalangi oleh sindiket peras ugut yang menyamar sebagai ah long.

Menurut beliau, sindiket tersebut akan menawarkan pinjaman kepada individu yang memerlukan lalu meminta mereka memuat turun aplikasi khas mereka sebelum mencari data-data peribadi pemilik.

“Mereka akan merangkap mangsa untuk memasuki satu pinjaman kononnya boleh buat pinjaman dengan jumlah yang kecil sahaja. Selepas itu, mereka akan menuntut mangsa memuat turun aplikasi khasnya ke dalam telefon.

“Aplikasi itu sebenarnya bagi membolehkan sindiket tersebut mencuri data-data peribadi mangsa untuk digunakan bagi tujuan peras ugut,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Samsudin berkata, sindiket tersebut mula tumbuh seperti cendawan semasa negara berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu ketika dilanda pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan banyak kes bunuh diri.

Jelasnya, sindiket tersebut juga sukar dikesan kerana ada yang berpangkalan di luar negara selain dalam Malaysia sendiri.

“Jadi nasihat saya kepada orang ramai adalah jangan terlalu mudah memuat naik aplikasi sebegini di dalam telefon bimbit mereka. Bagi mangsa dan peminjam, jangan bayar wang kepada mereka.

“Ini kerana amat mudah untuk melumpuhkan mereka, apabila mereka bagi kita duit jangan bayar semula. Jangan takut dengan ugutan mereka sebab kita juga mahu sindiket tersebut munculkan diri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, pihaknya turut menerima banyak aduan mengenai ah long jadi ia menandakan kerajaan perlu menghapuskan segala skim pinjaman tersebut.

“Ada kes di mana ah long mengambil gambar perempuan tu dan sunting seolah-olah sedang diranjang lalu disebarkan. Perkara sebegini kerajaan tidak boleh ambil mudah, mesti ada satu Akta baharu yang melenyapkan semua ah long dan money lender.

“Malah, jika kita lakukan tinjauan untuk lihat sama ada peminjam-peminjam ni ada dapat salinan agreement atau tidak daripada ah long, pasti satupun tidak ada yang dapat. Jadi ini secara jelas tidak sah,” katanya.

Rosland berkata, kementerian bertanggungjawab perlu menguatkuasakan segala pinjaman ditawarkan mesti memberi salinan borang persetujuan kepada peminjam dan kerajaan perlu melakukan perubahan supaya isu berkenaan ah long serta peras ugut dapat dihapuskan.

Tambahnya, masyarakat juga perlu sedar tentang bahaya yang bakal dihadapi oleh mereka sekiranya melakukan urusan dengan ah long sama ada secara berdepan mahupun di dalam talian.

“Jika semua sedar risiko paling besar dengan kadar bunga yang tinggi pihak ah long ni tuntut takkan berlakunya pinjaman.

“Seperti di dalam talian, peminjam beri kad pengenalan (IC), gambar dan sebagainya pada pihak yang diri sendiri tidak kenal. Itu cari barah serta risiko sendiri, walaupun sedang terdesak memerlukan duit rakyat perlu ingat yang mereka sedang nak meminjam dengan ‘lanun’.

“Kita tidak boleh anggap duit diberi mereka ni adalah cara baik, kemungkinan secara tidak sah. Duit yang ‘bahaya’. Jadi rakyat perlu ada kesedaran, jangan sesekali meminjam dengan mereka sebab mereka ni sangat tidak sabar nak kenakan dan bedal orang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN