1,825 doktor ditempatkan di fasiliti kesihatan terjejas

1,825 doktor ditempatkan di fasiliti kesihatan terjejas

DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menempatkan seramai 1,825 pegawai perubatan yang sudah menamatkan latihan siswazah ke fasiliti kesihatan yang terjejas dengan 675 orang akan ditempatkan mulai bulan depan manakala bakinya pada Ogos ini.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penempatan itu akan dilaksanakan sebaik sahaja pegawai berkenaan menamatkan latihan atau khidmat wajib dan ditawarkan perjawatan tetap.

“Berdasarkan rekod KKM, seramai 3,226 pegawai perubatan akan menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib secara berperingkat mulai Jun hingga Disember ini,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Dr. Zaliha, selaras de­ngan kekosongan jawatan pada tahun ini, seramai 4,914 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Katanya, jumlah itu merangkumi seramai 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan sebanyak 316 pegawai farmasi.

Jelas beliau, seramai 4,907 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak melengkapkan urusan setuju terima melalui Sistem Tawaran Pelantikan Tetap (mySTP) SPA, manakala seramai tujuh pegawai per­ubatan menolak pelantikan tetap tersebut.

“Bagi memastikan ketelusan dan kesaksamaan, KKM memutuskan kesemua pegawai yang ditawarkan pelantikan tetap membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eHousemen, eDentist dan ePharmacist mulai 6 hingga 8 Jun lalu.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha memaklumkan, seramai 330 pegawai pergigian berjaya melengkapkan pemilihan penempatan, pegawai farmasi (308 orang) selain 3,405 pegawai perubatan.

Berdasarkan perjawatan yang disediakan bagi Fasa 1 hingga Fasa 4, katanya, ke­semua jawatan tetap di Semenanjung Malaysia dipilih sepenuhnya, manakala masih terdapat kekosongan jawatan di Sabah dan Sarawak yang tidak dipilih oleh pegawai.

Oleh yang demikian, jelas beliau, kesemua kekosongan jawatan ini akan ditawarkan kepada calon simpanan.

“KKM menerima lebih 1,000 rayuan daripada pegawai untuk dikekalkan di penempatan semasa. Antara alasan yang diberikan adalah pegawai menghadapi masalah kesihatan diri dan keluarga tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Alasan lain termasuk pegawai terpaksa tinggal berjauhan de­ngan pasangan dan pegawai akan atau memulakan pengajian kepakaran,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN