Zambry hadiri 3 mesyuarat persediaan pra-Sidang Kemuncak ASEAN

Zambry hadiri 3 mesyuarat persediaan pra-Sidang Kemuncak ASEAN

ZAMBRY Abd. Kadir ketika menyertai tiga mesyuarat persediaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia. - Foto ihsan Sekretariat ASEAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menyertai tiga mesyuarat persediaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Labuan Bajo, Indonesia pagi tadi.

Ia meliputi Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik dan Keselamatan ASEAN Ke-26 serta Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN Ke-33 yang dipengerusikan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi selaku Pengerusi ASEAN 2023 dan turut disertai Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.

Ini merupakan penampilan pertama Zambry pada persidangan tahunan serantau itu sejak dilantik menerajui Wisma Putra pada 3 Disember 2022 lalu dalam Kerajaan Perpaduan.

Tahun lepas, wakil khas Perdana Menteri, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang juga Speaker Dewan Rakyat mewakili negara pada program itu berlangsung di Phnom Penh, Kemboja.

ASEAN ditubuhkan pada 1967 dengan Sekretariat Tetap di Jakarta, Indonesia yang dianggotai kesemua 10 negara rantau Asia Tenggara dan penduduknya hampir 700 juta orang.

Walau bagaimanapun, tiada wakil rasmi Myanmar dijemput ke persidangan itu manakala pemimpin Thailand tidak dapat hadir susulan pilihan raya umum negara tersebut Sabtu ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, tiga mesyuarat persediaan adalah penting bagi memberi menteri-menteri luar bagi membincangkan pelbagai isu dan mengesahkan draf laporan.

“Kami juga akan mempertimbangkan banyak dokumen berkaitan yang akan dikemukakan untuk keputusan muktamad para pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak,” katanya.

Ia antaranya termasuk pelan hala tuju penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN dan perkembangan pelaksanaan Muafakat Lima Perkara mengenai situasi politik di Myanmar.

Petang ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan tiba di bandar itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina serta Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand.

Dua persidangan itu jelas Zambry, bakal mengukuhkan lagi kerjasama yang menyasarkan kepada peningkatan aktiviti rentas sempadan dalam perdagangan dan pelaburan wilayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya