YBR taja 100 pelajar lepasan matrikulasi bernilai RM4.7 juta

YBR taja 100 pelajar lepasan matrikulasi bernilai RM4.7 juta

PKHARUDDIN Ghazali (tengah) bersama Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani (dua kanan) bertukar MoU antara KPM dan YBR di KPM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menawarkan biasiswa kepada para pelajar cemerlang lepasan Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) terpilih bagi pengajian ijazah pertama membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM4.7 juta.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, peruntukan tersebut bakal memanfaatkan seramai 100 pelajar dari tahun 2022 hingga 2025 yang dipilih daripada latar belakang ekonomi B40 dan asnaf.

Menurut beliau, pembiayaan itu memberi ruang dan peluang kepada pelajar cemerlang Program Matrikulasi KPM untuk menikmati tajaan pendidikan dengan menanggung kos yuran pengajian dan kos sara hidup di peringkat ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara.

“Pemeteraian ini menjamin kemudahan pembiayaan pendidikan daripada YBR sehingga tahun 2025 bagi pelajar matrikulasi yang datang daripada jurusan sains, kejuruteraan, perakaunan dan perakaunan profesional.

“Penajaan biasiswa yang diterima ini berupaya memberikan peluang kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk membina peluang kerjaya yang cemerlang seterusnya meningkatkan keperluan tenaga mahir dan profesional kepada negara pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman antara KPM dan YBR di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak berkata, kerjasama yang dijalin itu dilihat sejajar dengan objektif penubuhan YBR khususnya dalam memberi bantuan penajaan pendidikan kepada masyarakat yang memerlukan.

Jelasnya, program tersebut ditawarkan khusus untuk pelajar cemerlang lepasan matrikulasi yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti awam atau universiti swasta.

“Seramai 25 pelajar cemerlang akan dipilih setiap tahun bagi tempoh empat tahun. Oleh itu, seramai 100 pelajar lepasan matrikulasi akan menerima tajaan biasiswa tersebut.

“Tajaan adalah terdiri daripada yuran pengajian, elaun sara diri, bantuan awal pengajian, komputer riba dan elaun buku,” ujarnya.

Beliau turut berharap program berkenaan dapat memberikan tambahan motivasi kepada para pelajar tajaan untuk terus kekal berdaya saing dengan pelajar lain yang lebih berkemampuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya