PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan kepada 60 buah sekolah rendah dan menengah di Sabah bagi membantu sesi persekolahan yang sudah bermula sejak Mac 2023.
Ia melibatkan 52 sekolah kebangsaan (SK) serta lapan sekolah menengah kebangsaan (SMK) dengan sekolah tersebut menerima bantuan berkenaan melalui program Bantuan Persekolahan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan itu diharapkan dapat membantu pihak sekolah dalam meningkatkan pencapaian akademik murid-murid dari keluarga asnaf dan B40 melalui sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang baharu.
“Saya juga amat berterima kasih dan menyokong inisiatif YBR dan berharap lebih banyak entiti korporat dan organisasi lain, dapat turut sama membantu dalam memberi bantuan-bantuan sebegini tanpa mengira bentuk atau nilai wang ringgit bagi memartabatkan pendidikan.
“Syarikat-syarikat korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu sama mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, pemberian bantuan berkenaan dibahagikan kepada dua lokasi yang sudah dikenal pasti iaitu di sekitar Penampang dan Kadamaian dalam dua majlis penyerahan yang berasingan.
Katanya, bantuan yang disalurkan kepada pihak sekolah itu diharapkan dapat memberi suntikan semangat dan motivasi kepada pihak sekolah untuk membantu murid-murid serta sebagai tanda ingatan YBR dalam membantu komuniti setempat
“Usaha ini juga menjadi salah satu strategi dalam membantu masyarakat terutamanya di dalam bidang pendidikan bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat terutamanya di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, 31 warga emas di sekitar Penampang dan Kota Belud terharu apabila menerima bantuan kerusi roda serta katil yang turut diserahkan sendiri oleh Ewon dalam satu majlis berasingan.
Salah seorang penerima bantuan, Bibiana Amandus Madani mengakui bantuan itu sangat bermakna kepada dirinya dan mereka yang menerima nasib sama sepertinya.
Bibiana yang diserang angin ahmar terpaksa bergantung kerusi roda untuk melakukan sebarang pergerakan seharian. – UTUSAN