Wartawan Utusan Malaysia janji liputan terbaik musim haji kali ini

Wartawan Utusan Malaysia janji liputan terbaik musim haji kali ini

TURMADZI Madun pada majlis keraian kumpulan kedua petugas haji berlepas ke Tanah Suci di Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang, Selangor hari ini, - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Selepas tiga tahun, pembaca Utusan Malaysia berpeluang sekali lagi mendapat pelbagai khabar perkembangan mutakhir ibadah haji secara langsung dari Tanah Suci.

Wartawan akhbar ini, Turmadzi Madun antara 13 petugas media tempatan yang diberikan peluang oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk membuat liputan terus dari Kota Suci di sana.

Ketika ditemui pada majlis keraian kumpulan kedua petugas haji di Pusat Konvensyen Movenpick di sini hari ini, beliau turut bersyukur kerana dipilih menjadi tetamu Allah.

“Alhamdulillah, saya memang terkejut sebab jika ikut giliran sepatutnya amat jauh…lambat lagi, namun diberikan rezeki sebagai petugas haji musim ini,” katanya dalam nada terharu.

Beliau yang memulakan karier dalam bidang kewartawanan dengan menyertai akhbar ini sejak 2004 lalu, turut berasa terharu apabila menerima tawaran bagi membuat liputan haji.

Kali terakhir, Utusan Malaysia mendapat peluang untuk tugasan tersebut ialah pada 2019 sebelum musim haji dihadkan ekoran penutupan sempadan kerana isu wabak Covid-19.

Acara pelepasan itu dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan para pegawai kanan agensi berkenaan.

Mereka merupakan sebahagian daripada 670 petugas yang akan digerakkan ke Arab Saudi bagi operasi haji musim ini dengan kumpulan pertama berlepas pada Jumaat lalu.

Turmadzi, 44, berkata, Tanah Suci di Mekah dan Madinah bukan asing bagi dirinya kerana pernah menunaikan ibadah umrah dan ziarah pada 2012 lalu bersama ahli keluarganya.

“Cuma kali ini agak berdebar kerana saya perlu hantar laporan berita setiap hari ke tanah air untuk tatapan pembaca yang ingin tahu apa berlaku di sana dari sudut kita,” katanya.

Apatah lagi ujarnya, ini kali pertama beliau menunaikan ibadah haji dan lebih mencabar apabila perlu juga bertugas setiap hari tanpa ada cuti ketika cuaca panas terik di sana.

Sambil menjanjikan liputan terbaik dan menyeluruh, beliau turut berdoa agar segala urusan perjalanan sepanjang berada di sana selama 56 hari dipermudahkan tanpa masalah rumit.

Ditanya mengenai persediaan, beliau berkata, pihak TH ada menawarkan kursus cukup intensif selama lima hari termasuk tiga hari di ibu pejabat agensi itu di ibu negara.

Baki dua hari berikutnya, kesemua petugas telah menjalani latihan amalan menerusi Kursus Perdana Haji di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN