Israel ancam nasib Khamenei bakal sama seperti Saddam Hussein

Israel ancam nasib Khamenei bakal sama seperti Saddam Hussein

PENYOKONG kumpulan pro-Iran di Iraq memegang plakad imej Presiden Donald Trump semasa protes menyokong Iran di Baghdad, berhampiran kedutaan AS, pada Isnin lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa Teheran menyerah kalah tanpa syarat dan memberi amaran akan mempertimbangkan untuk menyertai Israel dalam perang yang sudah berlarutan hampir seminggu itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tiada rancangan segera untuk membunuh pemimpin tertinggi Iran buat masa ini.

Kenyataan Trump yang dimuat naik di media sosial itu menunjukkan pendirian lebih agresif terhadap Iran, ketika beliau mempertimbang untuk meningkatkan campur tangan AS.

“Kami tahu di mana ‘Pemimpin Tertinggi’ itu bersembunyi. Kami tidak akan menghapuskannya (bunuh!), sekurang-kurangnya buat masa ini. Kesabaran kami semakin tipis,” tulisnya di laman Truth Social.

Tiga minit kemudian, beliau memuat naik satu lagi kenyataan.

“Serah kalah tanpa syarat’,” tegas Trump yang ditujukan kepada Iran.

Pendirian Trump yang kadang kala bercanggah dan samar mengenai konflik antara sekutu rapat AS, Israel dan musuh lamanya, Iran menambah kekeliruan terhadap krisis berkenaan.

Kenyataan umum beliau merangkumi ancaman ketenteraan dan pendekatan diplomatik, sesuatu yang tidak asing bagi seorang presiden terkenal dengan dasar luar yang mengelirukan.

Sebelum ini, Trump meramalkan Israel tidak akan meredakan serangannya ke atas Iran.

Namun, beliau turut menyatakan kemungkinan untuk menghantar Duta Asia Barat AS, Steve Witkoff atau Naib Presiden, JD Vance bagi bertemu dengan pegawai Iran.

Trump juga menegaskan, kepulangannya lebih awal daripada sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada tiada kaitan dengan usaha merundingkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Iran, sebaliknya memberi bayangan sesuatu yang lebih besar sedang dirancang.

AMARAN ISRAEL

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, memberi amaran Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mungkin menerima nasib yang sama seperti Presiden Iraq, Saddam Hussein, yang digulingkan menerusi pencerobohan diketuai AS dan dihukum gantung pada 2006.

“Saya memberi amaran kepada diktator Iran agar tidak terus melakukan jenayah perang dan melancarkan peluru berpandu ke arah rakyat Israel,” kata Katz kepada pegawai kanan tentera Israel.

Letupan dilaporkan berlaku di Teheran dan bandar Isfahan di tengah Iran, manakala Israel mendakwa Iran melancarkan lebih banyak peluru berpandu ke wilayah pada Selasa, menyebabkan siren serangan udara berbunyi di Tel Aviv serta kawasan selatan.

Tentera Israel turut mendakwa, pasukannya melancarkan serangan ke atas 12 tapak pelancaran peluru berpandu dan kemudahan penyimpanan di Teheran termasuk menyasarkan Universiti Imam Hussein yang dikenal pasti mempunyai kaitan rapat dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Israel merupakan pencetus konflik memuncak di Asia Barat selepas melancarkan perang udara terbesar dalam sejarahnya terhadap Iran pada Jumaat lalu, berikutan menuduh Republik Islam itu semakin hampir membangunkan senjata nuklear.

Iran menafikan ia berhasrat membangunkan senjata nuklear dan menegaskan haknya terhadap teknologi tersebut bagi tujuan aman, termasuk proses pengayaan uranium, sebagai negara anggota Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).

Israel, yang bukan anggota NPT, dipercayai merupakan satu-satunya negara Asia Barat yang memiliki senjata nuklear, walaupun tidak pernah mengesahkan atau menafikannya secara rasmi.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, beliau tidak akan berundur selagi pembangunan nuklear Iran tidak dilumpuhkan, manakala Trump menyatakan serangan Israel boleh dihentikan sekiranya Teheran bersetuju terhadap sekatan ketat ke atas aktiviti pengayaan.

MATLAMAT NETANYAHU

Dalam temu bual bersama Fox News pada Ahad, Netanyahu sekali lagi menegaskan matlamatnya bukan sahaja mahu menyerang program nuklear dan peluru berpandu Iran, bahkan juga ingin mengubah pemerintahan di Teheran.

Buktinya, serangan terbaharu Israel di Iran dalam dua hari lalu menunjukkan ia turut menyasarkan bangunan polis, perisikan IRGC dan stesen televisyen negara semasa siaran langsung.

Walaupun Netanyahu menganggap dirinya ‘pakar’ dalam politik dalaman Iran, beliau sebenarnya tidak pernah menjejakkan kaki ke negara itu.

Pengetahuannya mengenai Iran hanya diperoleh melalui taklimat perisikan yang menganggap negara itu sebagai ancaman dan menerusi pandangan pemikir pro-Israel.

Netanyahu dan golongan anti-Iran di AS pernah menggunakan hujah serupa sebelum pencerobohan Iraq pada 2003.

Mereka ketika itu mendakwa rakyat Iraq akan menyambut baik penggulingan Saddam Hussein, dan kononnya kejatuhan kepemimpinan tersebut bakal membuka jalan kepada demokrasi serta membentuk semula landskap politik Asia Barat.

Namun, apa yang berlaku sebaliknya, negara itu terjerumus ke dalam kekacauan berlarutan dan kegagalan membina semula negara hanya memburukkan keadaan.

Malah, beberapa penganalisis dan aktivis Iran menegaskan campur tangan asing, terutama oleh Israel, bukan sahaja tidak membantu, bahkan memburukkan lagi perjuangan rakyatnya yang mahukan perubahan secara aman dan dari dalam.

Israel pula dilihat tidak mempunyai sebarang rancangan jangka panjang terhadap masa depan Iran, sebaliknya hanya ‘bernafsu’ melemahkan musuh serantau demi kelebihan strategik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×