PEKAN: Empat beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Batu 8, Lepar, di sini, kelmarin.
Tragedi kira-kira pukul 10 malam itu menyaksikan pasangan suami isteri, Jamal Azizul Samat, 44, dan Lizawati Abdullah, 41, maut di tempat kejadian selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
Kemalangan itu menyebabkan empat anak pasangan tersebut, Muhammad Syakir Iman, 6; Norsyamira, 13; Muhammad Syamril Alif, 15, dan Nursyammie, 17, menjadi yatim piatu sekelip mata.
Nursyammie, Muhammad Syamril Alif dan Muhammad Syakir Iman yang berada bersama pasangan itu ketika kejadian cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Sementara anak ketiga mangsa, Norsyamira menetap bersama neneknya yang merupakan ibu Lizawati, Siti Manap, 60, di Felda Keratong 9, Rompin, lebih setahun lalu.
Ibu kepada Jamal Azizul, Som Hamzah, 65, berkata, dia mengetahui tkejadian menimpa anak, menantu dan cucunya itu melalui satu panggilan video dibuat cucunya yang terlibat dalam kemalangan.
Katanya, Nursyammie sempat membuat panggilan video selepas terlibat dalam kemalangan terbabit.
“Semasa cucu telefon itu, saya tidak nampak apa-apa. Cuma nampak keadaan yang gelap dan saya dengar suara cucu saya panggil ‘Umi’ (panggilan untuknya) dan dengar kata sakit. Kemudian saya dengar suara orang ramai kata ada kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan, di sini, semalam.
Menurut Som, sejurus selepas menerima panggilan video berkenaan, dia yang ketika itu berada di rumah anaknya di Kampung Sepakat, Kuantan terus mengajak anaknya ke lokasi kejadian.
“Ketika itu ada menantu yang kerja bawa lori dimaklumkan oleh rakannya tentang kejadian. Dari situlah saya tahu lokasi kejadian itu dan terus ke sana,” ujarnya.
Lebih menyayat hati apabila sebaik tiba di sana dia sempat melihat arwah anak dan isterinya yang sedang dikeluarkan dari kereta kerana tersepit berada dalam keadaan berpelukan.
Kata Som, ketika bertemu arwah Jamal Azizul pada Hari Raya Aidiladha lalu, anak kedua dari 10 beradik itu sempat berpesan agar dia dan isterinya tidak dipisahkan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini membabitkan mereka.-UTUSAN











