Warga emas bujang dua beradik rayu jalan tar ke rumah baharu

Warga emas bujang dua beradik rayu jalan tar ke rumah baharu

JAMALIAH Kassim (kiri) dan Saadiah (kanan) dihadapan rumah mereka di Kampung Mambang Berulang, Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kesulitan dan ke­peritan hidup dialami dua bera­dik perempuan bujang ber­usia emas di Kampung Mambang Be­rulang, Mentakab di sini, ba­gaikan tiada berpenghujung.

Sebelum ini, lebih setahun Jamaliah Kassim, 72, dan adik­nya, Saadiah, 70, menumpang di balai raya di situ setelah rumah pusaka mereka di pinggir Sungai Semantan di kampung itu dihanyutkan air banjir luar biasa pada Disember 2021.

Setelah memperoleh rumah baharu sumbangan Majlis Uga­ma Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bernilai kira-kira RM65,000, kini, adik beradik berkenaan berdepan pula isu jalan masuk ke kediaman mereka yang sukar dilalui dan becak selepas hujan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jamaliah berkata, dia dan adiknya bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan rumah baharu tersebut, tetapi jalan utama ke situ tidak mesra warga emas seperti mereka.

“Ini kerana lokasi rumah agak jauh dari jalan utama dan berbukit. Jika hujan sangat becak. Sudah beberapa kali tergelincir dan jatuh,” katanya yang semakin uzur di sini semalam.

Jamaliah merayu pihak ke­rajaan negeri yang me­nyedia­kan pelbagai insentif kepada rakyatnya dapat menaik taraf jalan tar masuk ke rumah itu yang sukar dilalui pada semua situasi terutama musim hujan.

Penderitaan dua beradik itu menjadi tular apabila lebih setahun tinggal di balai raya Kampung Mambang Berulang setelah rumah pusaka di ha­nyut air bah Disember 2021.

Jamaliah mengakui kehidupannya dua beradik sangat sukar kerana hanya bergantung wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seba­nyak RM500 sebulan.

Sehubungan itu, Jamaliah merayu pihak berkuasa menambah bantuan JKM berban­ding sekarang kerana dia perlu membayar bil elektrik dan air di samping menanggung adik yang tiada sumber pendapatan.

“Saya juga merayu supaya adik saya, Saadiah turut me­ne­rima bantuan JKM untuk perbe­lanjaan dia sendiri,” katanya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh me­nyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional milik Jamaliah Kassim iaitu 06500-41-00007670-2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN