Warga asing di Pasar Borong Selangor kebal dilindungi sindiket

Warga asing di Pasar Borong Selangor kebal dilindungi sindiket

WARGA asing Bangladesh dan Myanmar memonopoli Pasar Borong Selangor dan mereka dipercayai dilindungi sindiket.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasil tani dari Pulau Meranti, Puchong yang diusahakan warga asing didapati dipasarkan secara terus ke Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan yang juga dimonopoli oleh golongan itu menerusi proksi.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, lambakan warga asing Bangladesh dan Myanmar memonopoli pasar borong berkenaan dan mereka dipercayai dilindungi sindiket atau kumpulan warga tempatan yang menguasai ekosistem dan rangkaian bisnes kawasan tersebut.

Kumpulan sindiket ini didakwa menggunakan proksi untuk menyewa lot-lot perniagaan dalam pasar borong itu dengan kadar sewa kira-kira RM2,000 sebulan, sebelum menyewakan semula lot tersebut kepada warga asing dengan kadar mencecah RM9,000 sebulan bagi satu lot.

Sumber memberitahu, sindiket itu menggunakan proksi bagi mengelakkan komplot itu mudah dikesan pengurusan pasar borong serta pihak berkuasa.

Difahamkan, ada di antara pengusaha kebun haram di Pulau Meranti turut mempunyai rangkaian pasaran sayuran di lot-lot dalam pasar borong tersebut yang dikesan melalui sayuran eksotik seperti kakrol dan dan parval.

Sejak 26 Oktober tahun lalu, Utusan Malaysia konsisten mendedahkan pencerobohan warga Bangladesh dan Indonesia di tanah-tanah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta rizab kerajaan di Pulau Meranti, Puchong yang berjarak kurang 10 kilometer dari Pasar Borong Selangor, untuk projek tanaman sa­yu­ran kontan yang memberi hasil lumayan.

Dalam pada itu, sindiket yang didakwa menguasai ekosistem Pasar Borong Selangor didakwa sengaja menyewakan lot-lot di pasar borong itu kepada warga asing kerana mereka tidak banyak kerenah dan boleh membayar kadar sewaan yang tinggi.

Pada masa sama, sindiket tersebut turut menjalankan aktiviti judi haram seperti judi bola sepak serta jual nombor ekor kepada peniaga Bangladesh dan Myanmar dalam pasar borong itu.

Tinjauan mendapati memang wujud beberapa runner memegang fail dan kertas bertulis nombor ekor, berjalan mundar-mandir mendekati peniaga Myanmar dan Bangladesh dipercayai menjual satu nombor ekor dengan bayaran serendah RM1.

Satu sumber yang arif dengan selok-belok operasi pasar borong itu mendedahkan, setiap runner memperoleh komisen di antara 20 peratus hingga 25 peratus bagi setiap nombor ekor yang dijual secara haram dalam pasar borong itu.

“Bermaksud, dari RM1 yang diambil, runner itu akan dapat untung antara 20 sen hingga 25 sen. Pelanggannya setiap warga Myanmar dan Bangladesh, malah orang Melayu pun ada.

“Runner ini mundar-mandir di zon jual sayur, zon jual ikan dan zon jual daging ke hulu ke hilir pegang fail. Macam mana benda ini boleh berlaku sedangkan di kawasan itu ada kamera litar tertutup yang memantu aktiviti dalam pasar,” kata sumber.

Dalam pada itu, sumber mendakwa, sindiket itu beroperasi di sebalik sebuah entiti bisnes yang mempunyai rangkaian dengan anak syarikat sebuah kerajaan negeri.

Difahamkan, kartel ini merekrut sekurang-kurangnya empat individu warga tempatan yang mengawal berpuluh tapak perniagaan dalam pasar borong itu, sebelum menyewakannya semula kepada warga Bangladesh dan Myanmar, sekali gus menjejaskan peluang warga tempatan lain untuk berniaga di sana.

Sumber mendakwa, lot-lot disewakan kartel ini kepada warga asing dengan bayaran bulanan di antara RM6,000 sehingga RM9,000 setiap bulan.

“Kartel ini ambil keuntungan melalui beberapa cara. Pertama, mereka menyewa banyak lot perniagaan dalam Pasar Borong Selangor. Kadar sewa kira-kira RM2,000 sebulan. Kemudian, lot-lot itu disewakan pula kepada warga asing Myanmar dan Bangladesh.

“Cara kedua, mereka mengambil keuntungan dengan menguasai rantaian bekalan ke pasar borong itu. Produk-produk di situ kebanyakan dibawa dari Pasar Borong Selayang.

“Peniaga Myanmar dan Bangladesh bagaimanapun tiada rangkaian dengan pemborong di Selayang, jadi mereka cuma bergantung kepada bekalan yang dibawa masuk oleh kartel dari Pasar Borong Selayang ke dalam Pasar Borong Selangor,” kata sumber. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN