KUALA LUMPUR: Sebanyak RM11.2 bilion Wang Tidak Dituntut (WTD) direkod di Jabatan Akauntan Negara setakat 30 April lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dianggarkan 70 peratus adalah wang dalam akaun bank yang tidak aktif dalam tempoh tujuh tahun atau lebih daripada jumlah tersebut.
Katanya, wang tidak dituntut turut meliputi wang yang tidak dibayar seperti gaji, bonus atau dividen dalam tempoh setahun atau lebih serta wang dalam akaun perdagangan antara pembekal dan syarikat melebihi tempoh dua tahun.
Katanya, kerajaan telah mengembalikan sebanyak RM3.3 bilion sehingga 23 Mei (semalam) kepada rakyat yang menuntut.
“Apa yang kita lakukan daripada wang tidak dituntut ini ialah sebanyak RM10 bilion, kita masukkan dalam simpanan tetap dan daripada simpanan tetap itu, kita dapat RM250 juta setahun sejak 10 tahun lalu.
“Wang RM250 juta itu kerajaan kembalikan semula dan wang disatukan diguna untuk pembangunan dan bantuan rakyat,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad berkata demikian menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah wang tidak dituntut setakat 31 Mac 2023 yang tersimpan dan cadangan untuk memanfaat wang tersebut untuk pembangunan negara.
Kui Lun turut bertanya jika kerajaan bercadang mewujudkan dana biasiswa pendidikan daripada wang tidak dituntut bagi membantu pelajar-pelajar yang layak dan tidak mempunyai sumber kewangan, selain usaha kerajaan untuk menjejaki pemilik wang berkenaan.
Kata Ahmad, kerajaan boleh mempertimbang untuk memberi biasiswa kepada pelajar yang layak daripada wang berjumlah RM250 juta yang diperoleh hasil daripada simpanan tetap berjumlah RM10 bilion.
“Tetapi setakat ini kerajaan beri untuk hal-hal secara umum untuk kembalikan duit itu kepada rakyat. Kumpulan wang disatukan ini ada tiga, iaitu akaun hasil disatukan yang mana kerajaan masukkan RM3 bilion daripada WTD.
“Kedua, akaun amanah yang disatukan dan disitu (diletakkan) sebanyak RM7 bilion daripada WTD, manakala RM10 bilion sebagaimana saya maklumkan, ia dimasukkan dalam simpanan tetap. (Baki) Sebanyak RM1 bilion lagi untuk pusingan pembayaran,” katanya. – UTUSAN










