Universiti Bogor setuju terima lebih ramai pelajar dari Sarawak

Universiti Bogor Indonesia setuju terima lebih ramai pelajar dari Sarawak

STEPHEN Rundi (tujuh dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Prof Deni, Rektor IPB Universiti, Bogor, Profesor Deni pada lawatan kerja di IPB Universiti Bogor Indonesia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Institut Pertanian Bogor (IPB) Universiti Bogor, Indonesia bersetuju untuk menyediakan lebih banyak tempat kepada anak Sarawak bagi melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran perubatan veterinar.

Kementerian Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata, usaha kerjasama itu penting dalam potensi IPB Universiti Bogor membantu Sarawak membangunkan tenaga kerja bidang veterinar.

“Perkara ini amat penting memandangkan Sarawak masih kekurangan tenaga kerja di dalam bidang teknikal, manakala tempat pengajian dalam bidang Veterinar di universiti tempatan adalah amat terhad.

“Di samping IPB Bogor juga bersedia untuk bekerjasama dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan makanan ternakan menggunakan sumber tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Tambahnya lagi, persetujuan itu dicapai dalam perbincangan semasa lawatan kerja Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak ke Indonesia pada 3 hingga 9 Mei 2023 yang lalu.

Lawatan tersebut diketuai oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Sri Stephen Rundi anak Utom.

Kunjungan ke IPB Bogor Universiti itu adalah bertujuan untuk membincangkan potensi IPB membantu Sarawak bagi membangunkan tenaga kerja bidang veterinar.

Delegasi Sarawak itu turut melakukan lawatan ke Balai Embrio Ternak di Cipeleng, Bogor untuk melihat dan mempelajari teknologi pemindahan embrio dan pembangunan teknologi ternakan lembu, khususnya lembu baka Aceh dan Bali, termasuk kejayaan Program Artificial Insemination di Indonesia.

Ketua Balai Pusat Ternakan Lembu Bali Indonesia Ir Yan Hendri telah menyatakan kesediaan Kementerian Pertanian Indonesia untuk menjalinkan kerjasama di mana Balai Embrio Ternak Cipelang bersedia menerima kakitangan dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk menjalani latihan kompetensi dalam teknologi terkini penternakan, khususnya teknologi pemindahan embrio (embryo transfer) dan Artificial Insemination (AI).

Pada masa yang sama, delegasi M-FICORD turut melawat Syarikat PT Medion di Bandung yang merupakan pengeluar vaksin, ubatan dan peralatan ternakan terbesar di Asia Tenggara.

“Tujuan lawatan untuk mendapat maklumat terkini vaksin Avian Influenza (AI) yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan serta jenis-jenis ubatan ternakan yang lain. Maklumat ini penting memandangkan virus AI ini kini sedang menular di Indonesia termasuk di beberapa Provinsi di Kalimantan.

“Ini merupakan langkah persediaan awal oleh Sarawak bagi menghadapi penularan virus AI di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu kementerian M-FICORD Sarawak juga telah mempelawa Syarikat PT Medion Farma Jaya untuk mengembangkan teknologi pembuatan dan penyelidikan vaksin dan ubat-ubatan ternakan ke Sarawak selaras dengan pembangunan Taman Agroteknologi Sarawak (SARTECH) di Semenggok.

“M-FICORD Sarawak bersama Kementerian Pertanian Indonesia turut membincangan beberapa perkara termasuk berkenaan dengan peluang mewujudkan kerjasama secara langsung di antara Sarawak dan Indonesia bagi memerangi penularan penyakit haiwan seperti penyakit kaki dan mulut (foot and mouth disease), African Swine Fever (ASF), Avian Influenza (AI) dan rabies.

“Ini memandangkan wabak Rabies dan ASF khususnya telah menular di Sarawak dan di beberapa provinsi Kalimantan, Indonesia di samping wabak AI yang telah menular di Indonesia. Sesi perjumpaan ini telah memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar maklumat berkenaan dengan pengawalan penularan wabak penyakit ternakan serta bagaimana kedua-dua pihak boleh bekerjasama secara langsung dalam pengurusan biosekuriti,” jelasnya.

Antara perbincangan juga menyentuh pembangunan sektor ternakan di antara Sarawak dan Indonesia, seperti pemindahan teknologi ternakan dan pemudahcara perdagangan yang tertakluk kepada factor-faktor risiko terkini.

“Kerajaan Indonesia telah menyatakan kesediaan untuk melanjutkan kerjasama dalam pembangunan sektor pertanian, khususnya bagi subsektor ternakan bagi membantu Sarawak mencapai tahap sara diri atau keselamatan makanan yang lebih memuaskan.
“Kementerian dan Jabatan telah terlibat berjaya mewujudkan hubungan jitu dan secara langsung dengan institusi-institusi penting Indonesia bagi memperkukuhkan kerjasama dalam pembangunan sektor ternakan di Sarawak, khususnya dalam meningkatkan kompetensi tenaga kerja, kawalan biosekuriti dan pemindahan teknologi ternakan,” tambahnya.

Antara agensi kerajaan yang lain turut terlibat dalam lawatan kerja yang diketuai Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA). –utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN