UMNO sudah lupa agenda perjuangan Melayu, Bumiputera 

PARLIMEN: UMNO sudah lupa agenda perjuangan Melayu, Bumiputera 

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saranan UMNO supaya rakyat menyokong dan mengundi DAP dan sebaliknya pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang menggambarkan bahawa parti itu semakin minoriti dalam memperjuang agenda Melayu, Islam dan Bumiputera.

Pembangkang berpandangan, situasi itu semakin ketara apabila Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP lebih dominan dalam Kerajaan Perpaduan, sehingga mendorong UMNO yang hanya memiliki 30 kerusi Parlimen menjadi kurang lantang dalam mempertahan agendanya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, keadaan itu terbukti apabila UMNO sanggup menggadai prinsip perjuangan, malah menyeru pengundi menyokong DAP meskipun sedar kedua-duanya mempunyai fahaman politik berbeza. 

“Dua-dua parti ini secara tradisinya tiada persamaan dan sanggup menjual prinsip semata-mata mahu mengekalkan kedudukan dan kuasa. Saya tidak boleh bayangkan satu keadaan yang mana DAP suruh sokong UMNO satu sama lain. 

“Inilah mungkin jajaran yang kami sebut menyaksikan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) mahu bawa sejak dahulu lagi dan sekarang ia sedang berlaku. 

“Cuma, saya kesal kerana negara kita ini terasnya adalah bumiputera, namun, parti yang mewakili bumiputera, Melayu Islam dalam kerajaan menjadi parti minoriti. Yang majoritinya bukanlah bumiputera. 

“Ini bukan isu perkauman, tetapi ini adalah tonggak dalam negara. UMNO jadi komponen kecil dalam kerajaan dan sanggup menjual diri untuk kekal dalam struktur tersebut. Mereka lupa agenda asal iaitu perjuangan bumiputera,” kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu ketika ditemui di ruang legar bangunan Parlimen semalam.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, pengundi UMNO perlu memilih calon daripada Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya negeri tanpa mengira calon tersebut daripada parti mana termasuk DAP.

Katanya, meskipun calon yang bertanding daripada DAP, namun ia mewakili gabungan Kerajaan Perpaduan dan harus diterima susulan perubahan politik ketika ini. 

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pula berkata, saranan UMNO supaya pengundi parti itu memberi sokongan kepada calon DAP sebagai munasabah dan masuk akal. 

Ini kerana, sebagai parti yang bekerjasama dalam kerajaan di peringkat Persekutuan, sudah pasti memerlukan sokongan antara satu sama lain. Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching sebelum itu turut menyokong saranan Ahmad. 

Tidak senang dengan kenyataan itu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, tindakan Ahmad menggesa ahli partinya supaya memberi sokongan kepada DAP sebagai ‘luar biasa’.

Katanya, itulah kali pertama beliau mendengar pemimpin parti terbabit meminta anggota parti menyokong DAP selama hampir 40 tahun dia berada dalam UMNO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya