UMNO Arau sediakan jengkaut bersihkan sungai, reda kerunsingan pesawah - Utusan Malaysia

UMNO Arau sediakan jengkaut bersihkan sungai, reda kerunsingan pesawah

UMNO Bahagian Arau membantu menyediakan jengkaut membersihkan saliran yang tersumbat sekali gus membantu para pesawah untuk memulakan proses tanaman padi di sekitar Simpang Empat dan Sanglang, semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sehari selepas bertemu pesawah bagi menyelami permasalahan mereka, UMNO Bahagian Arau tidak menunggu lama dengan mengambil pendekatan segera membantu menyediakan jengkaut bagi membersihkan kawasan sungai atau saliran yang tersumbat di sekitar Simpang Empat dan Sanglang di sini.

Perkembangan tersebut sekali gus melegakan kerisauan para pesawah di kawasan berkenaan yang masih tidak dapat mengusahakan tanaman padi ekoran masalah tersebut.

Ahad lalu, Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd. Rahman bertemu para pesawah selain meninjau kawasan yang terjejas itu seterusnya berjanji membawa aduan itu kepada pihak tertinggi untuk tindakan sepatutnya.

Untuk tempoh segera, Rozabil juga berjanji membantu membersihkan terlebih dahulu kawasan berkenaan bagi membolehkan pesawah menanam padi.

Lebih 2,000 pesawah di sekitar Simpang Empat dan Sanglang di sini berdepan masalah tersebut apabila air yang bertakung di dalam petak sawah tidak dapat mengalir keluar gara-gara sungai bagi menyalur air keluar tidak diselenggara dengan baik.

Para Pesawah mendakwa, saluran air sepanjang 6.5 kilometer dari Sungai Tok Pulau hingga Sungai Pida 15 di Jalan Sanglang, Kedah itu sepatutnya diselenggara oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) empat kali setahun namun hanya dilaksanakan sebanyak dua kali sahaja dalam tempoh berkenaan.

Seorang pesawah, Razak Osman menzahirkan ucapan terima kasih kepada Rozabil kerana membantu menyediakan kemudahan jengkaut untuk kerja-kerja pembersihan ini.

“Atas usaha beliau (Rozabil) semalam adakan perjumpaan, hari ini jengkaut sudah sampai sekali gus membantu kerja-kerja pembersihan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya