Tiga lelaki ditahan terlibat ragut di ibu negara

Tiga lelaki ditahan terlibat ragut di ibu negara

AHMAD SUKARNO MOHD. ZAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan ragut di sekitar Sentul dan Wangsa Maju dalam serbuan Op Rentap di sekitar ibu negara pada 10 Mei lalu.

Operasi itu dilakukan selepas satu laporan polis diterima daripada seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang diragut di Jalan Rimbunan Kepong, di sini pada pukul 7.30 malam pada 22 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, susulan kegiatan ragut yang semakin berleluasa, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul melancarkan Op Rentap untuk membanteras aktiviti itu.

Kata beliau, berdasarkan risikan dilakukan, beberapa siri serbuan di sekitar ibu negara dilakukan yang membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 29 tahun.

“Kami turut merampas lapan telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah motosikal Yamaha 135 LC, dua helmet, tiga beg tangan wanita dan sejumlah wang tunai pelbagai mata wang asing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati modus operandi sindiket itu didalangi tiga suspek berkenaan yang diketuai suspek dengan panggilan Wan Palo berusia 29 tahun.

“Sindiket itu dikenal pasti melakukan kegiatan ragut di kawasan perumahan dengan menyasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal.

“Kegiatan ini juga dijalankan secara berkumpulan dengan hasil jenayah ragut akan dijual kemudian wang diperolehi akan dibahagikan sesama mereka,” ujarnya. 

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan direman bermula 11 sehingga 22 Mei lalu bagi membantu siasatan.

“Suspek utama kes ini diserahkan kepada IPD Wangsa Maju bagi membantu siasatan kes di daerah berkenaan, manakala dua lagi suspek dijadikan sebagai saksi pendakwaan.

“Semakan dilakukan mendapati dua daripada tiga suspek dalam kes ini mempunyai rekod kesalahan jenayah,” jelasnya.

Menurutnya, susulan operasi itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sembilan kes ragut yang dilaporkan di Sentul dan Wangsa Maju.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah di daerah ini diminta menghubungi menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN