Tiga kategori pengguna air jadi keutamaan

Tiga kategori pengguna air jadi keutamaan

AHMAD Zahid Hamidi meninjau situasi terkini takungan air Empangan Muda yang dikendalikan MADA di Gubir, Sik. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Kerajaan mengambil langkah proaktif bagi tempoh pertengahan bulan ini hingga akhir September yang dijangkakan berdepan Monsun Barat Daya untuk memastikan bekalan air terhadap sektor pertanian dan kegunaan domestik tidak terjejas teruk.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengguna kategori industri juga menjadi keutamaan kerajaan dalam memastikan penggunanya terjejas pada kadar paling minimum.

Di samping itu, kerajaan telah bersiap siaga agar kekurangan air tidak akan menjejaskan sektor tanaman padi khususnya di negeri Kedah.

“Saya dimaklumkan dua musim penanaman padi akan terus berjalan dan bekalan air untuk sawah akan dipastikan konsisten. Keduanya untuk kegunaan industri juga akan dipastikan (tidak terjejas) dan yang paling penting adalah penggunaan domestik.

“Kita juga akan ada kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mempunyai takungan yang setakat ini mencukupi untuk kegunaan dalam keadaan tertentu bagi menyalurkan air melalui terowong sepanjang 6.8 kilometer (KM) dari Empangan Muda ke Empangan Pedu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau situasi terkini takungan air Empangan Muda yang dikendalikan MADA di Gubir, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, langkah-langkah berkenaan bukan sahaja akan dikoordinasikan bersama MADA tetapi turut melibatkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain yang menguruskan perkara itu.

“Begitu juga koordinasi untuk pembekalan air bagi penggunaan domestik. Koordinasi telah dilakukan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selain kerjasama dengan syarikat pembekal dan badan pengurusan air peringkat negeri,” katanya.

Tambah beliau, terdapat tujuh sumber air yang dikenal pasti akan terjejas dalam tempoh Monsun Barat Daya dengan dua daripadanya berada di Kedah, empat lagi lokasi masing-masing dua di Perak dan Selangor serta satu di sarawak. 

“Jadi kami mengambil langkah-langkah yang proaktif terutamanya di kawasan tanah gambut yang mengalami kebakaran terbuka. Dijangkakan kebakaran ini akan menyebabkan banyak kesan jangka pendek yang akan menjejaskan pengguna.

“Justeru kita telah merancang dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melakukan aktiviti pembenihan awan terutamanya apabila Jabatan Meteorologi menjangkakan luruan hujan akan berkurangan dan tiada laluan atau pun tiupan angin yang membawa awan ke kawasan empangan di tujuh lokasi itu,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya