SETIU: Tiga penternak ikan sangkar di Kampung Gong Batu di sini, kerugian kira-kira RM67,000 akibat fenomena ‘air mati’ atau arus sungai tidak bergerak sehingga kadar oksigen menurun yang berlaku kelmarin.
Antara ikan yang mati adalah siakap putih, siakap merah, tilapia dan kerapu hibrid.
Seorang penternak, Mat Sim Omar, 52, berkata, dua tan metrik ikan siakap putih yang sepatutnya dijual minggu depan mati susulan kejadian `air mati’ yang berlaku awal pagi kelmarin.
“Saya hanya menyedari kejadian ikan mati akibat kekurangan oksigen kira-kira pukul 8 pagi semasa datang untuk memberi makan ternakan di sangkar.
“Ketika itu, ikan-ikan ini dalam keadaan ‘lemas’ dan saya terus memasang mesin oksigen sebagai langkah menyelamatkan ikan tersebut namun gagal,” katanya di Kampung Gong Batu.
Menurut Mat Sim, 10 daripada 25 buah sangkar ikan yang diusahakannya, tidak sempat diselamatkan.
Katanya, bangkai-bangkai ikan tersebut dibawa naik untuk dilupuskan bagi mengelak pencemaran bau dan sungai.
Seorang lagi penternak, Mohd. Nazemi Nawi, 48, yang mengusahakan ikan tilapia berkata, ternakannya pula mati sejak Sabtu lalu disebabkan lokasi sangkarnya berada di kawasan yang cetek.
“Ia tidak mati sekali gus tetapi secara berperingkat sehingga mencecah 2,300 ekor ikan yang baru mencecah umur dua bulan. Mesin oksigen turut dipasang bagi mengelak kerugian lebih besar selain cuba menyelamatkan baki ikan yang ada di dalam sangkar,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Fendi Tahar, 37, pula berkata, kejadian tersebut sering berlaku iaitu tiga atau empat kali setiap tahun.
Justeru katanya, sebagai pengusaha sangkar ikan mereka perlu sentiasa memantau pasang surut air sungai bagi meminimumkan kematian ikan semasa.
Sekumpulan anggota daripada Jabatan Perikanan Malaysia Daerah Setiu telah turun ke lokasi bagi membuat siasatan berhubung kematian ikan dalam jumlah yang banyak. – UTUSAN










