Tidak mansuh tol dedah janji palsu Guan Eng - Gerakan

Tidak mansuh tol dedah janji palsu Guan Eng – Gerakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyifatkan keputusan kerajaan untuk tidak bercadang mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya dalam usaha menghapuskan tol pada masa ini sudah mendedahkan janji palsu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng. 

Ia susulan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat dilaporkan berkata, kerajaan pada masa ini tidak bercadang mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya dalam usaha menghapuskan tol berikutan implikasi kewangan yang amat tinggi.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mendakwa, Guan Eng sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berjanji akan memansuhkan tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) jika Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan. 

Namun, ujarnya, jawapan yang diberikan daripada Menteri Kerja Raya membuktikan bahawa perkara berkenaan hanya penipuan politik Ahli Parlimen Bagan itu. 

“Ketika kempen pilihan raya, Lim Guan Eng memanfaatkan rasa tidak puas hati rakyat terhadap tol di lebuh raya dan mendakwa bahawa kerajaan PH akan memansuhkan tol untuk meringankan beban rakyat.

“Janji ini bukan sahaja dapat sokongan rakyat, malah juga memenangi banyak undi dalam pilihan raya,” dakwanya dalam kenyataan, semalam. 

Menurut Dominic Lau, langkah itu menimbulkan keraguan terhadap rakyat dengan apa yang dijanjikan Guan Eng sebelum ini. 

Malah, dakwanya, penipuan sebegitu juga merupakan satu jenis pengkhianatan kepada rakyat. 

“Apa yang rakyat mahukan adalah ahli politik yang boleh bekerja dengan ikhlas untuk kesejahteraan rakyat, bukanlah untuk mendapatkan kuasa dengan janji palsu dan kemudian mengabaikan kepentingan rakyat. 

“Guan Eng sudah pasti seorang ahli politik yang tidak bertanggungjawab kerana menipu rakyat untuk dapatkan undi walaupun terpaksa menipu,” dakwanya. 

Justeru, Dominic Lau menggesa Guan Eng meminta maaf kepada rakyat atas pembohongannya itu dan bukan sekadar lepas tangan. 

Ujarnya, Guan Eng juga patut menjelaskan sebab mengapa beliau membuat janji palsu sebegitu dalam isu tol dan adakah beliau mempunyai motif politik tersembunyi.

Beliau pada masa sama turut mengingatkan rakyat supaya berwaspada terhadap tingkah laku penipuan sebegini dan meningkatkan keupayaan mengenal pasti tokoh ahli politik.

“Kita tidak boleh mudah mempercayai ahli politik berdasarkan slogan dan janji mereka, tetapi perhatikan rekod politik dan tindakan sebenarkan mereka. 

“Dengan cara ini, rakyat hanya boleh melindungi hak diri sendiri dan memastikan pemimpin politik yang kita pilih adalah benar-benar untuk kesejahteraan rakyat,” jelasnya. –utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya