Terputus bekalan air, Pas seru P. Pinang henti konfrontasi dengan Kedah - Utusan Malaysia

Terputus bekalan air, Pas seru P. Pinang henti konfrontasi dengan Kedah

MUHAMMAD FAUZI YUSSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pas negeri menyeru Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya menghormati dan tidak lagi berkonfrontasi dengan Kedah berkaitan isu air.

Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, ia memandangkan Pulau Pinang bergantung kepada bekalan air dari Sungai Muda yang terletak di bawah kawal selia Kerajaan Negeri Kedah menerusi Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Lembaga Pengurusan Lembangan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Jelasnya, umum mengetahui Sungai Muda adalah sumber air mentah utama Pulau Pinang yang mana Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengambil lebih 80 peratus daripadanya untuk memghasilkan air mentah terawat.

Tambah beliau, gangguan bekalan air yang berlaku di sebahagian besar kawasan di Pulau Pinang baru-baru ini misalnya berpunca ekoran penurunan mendadak air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang yang telah menjejaskan pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, dekat sini.

“Walaupun PBAPP mengambil tindakan menyalurkan air dari Empangan Mengkuang, namun masih tidak dapat mengatasi sepenuhnya masalah air ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahad lalu, pengguna air di beberapa kawasan di Pulau Pinang mengalami tekanan air rendah atau tiada bekalan air susulan penurunan mendadak paras air Sungai Muda awal pagi hari tersebut.

Situasi itu ekoran penurunan mendadak paras air Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang pukul 5 pagi yang berpunca daripada kerosakan pintu kawalan air (pintu barrage) sekali gus menyebabkan pengeluaran LRA Sungai Dua, dekat sini terjejas.

Kejadian itu turut menyebabkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) mengeluarkan notis berlaku gangguan air tidak berjadual di tiga daerah di Kedah iaitu di Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan di Baling.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi menambah, Pas Pulau Pinang juga melihat tuntutan SADA  berhubung bayaran tambahan perlu dipenuhi oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi memastikan tiada lagi konflik berkaitan air.

“(Ini demi) menjaga kesejahteraan rakyat dalam pembekalan air mentah ke negeri ini,” katanya.

Pada tahun lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, pihaknya melantik panel peguam untuk menguruskan tuntutan RM50 juta daripada Pulau Pinang bagi air mentah yang diekstrak dari Sungai Muda.

Pulau Pinang bagaimanapun menolak permintaan itu dan mendakwa mereka tidak diwajibkan membayar kepada Kedah untuk mengeluarkan air mentah dari Sungai Muda yang berasal dari tadahan air Ulu Sungai Muda di Kedah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.